Raja Perlis terima mengadap Menteri Komunikasi

Raja Perlis terima mengadap Menteri Komunikasi

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima mengadap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Balai Mengadap Biru, Istana Arau.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir, Ketua Setiausaha, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut kenyataan Istana Arau, majlis mengadap tersebut menjadi ruang untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa dalam bidang komunikasi, khususnya berkaitan kepentingan penyampaian maklumat yang tepat, berkesan dan mudah diakses oleh masyarakat.

Dalam konteks Perlis, kemajuan komunikasi dan keterhubungan digital mempunyai peranan penting dalam merapatkan hubungan masyarakat, memperluas akses kepada maklumat serta membuka lebih banyak peluang dalam pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti.

Aspek literasi digital turut menjadi semakin penting bagi memastikan masyarakat, khususnya generasi muda dapat memanfaatkan teknologi secara positif, berhemah dan bertanggungjawab seiring dengan perkembangan landskap komunikasi masa kini.

Pertemuan tersebut turut memberi penekanan terhadap kepentingan memperkukuh ekosistem komunikasi di Perlis agar manfaat kemajuan teknologi dan akses maklumat dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh masyarakat negeri ini.

Perlis sesungguhnya memasang impian besar untuk menjayakan Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 dengan harapan untuk mendapat bantuan daripada pihak kerajaan Pusat menerusi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).-UTUSAN

Scroll to Top