Pulang lah Jazlan, anak-anak rindukan ayahnya…

Pulang lah Jazlan, anak-anak rindukan ayahnya…

am@hmetro.com.my

Jasin: “Baliklah abang…anak-anak rindu. Sampai demam tunggu ayahnya,” ujar Masitah Kamarudin, 38, yang menanti kepulangan suaminya yang hilang sejak 10 Disember lalu.

Suaminya, Jazlan Jamal Abdul Nasir, 40, juruteknik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hilang tanpa sebarang pesan sehingga membuatkan keluarga buntu memikirkan keberadaannya.

Menurut Masitah, kehilangan Jazlan disedari ketika bangun awal pagi untuk bersiap ke sekolah sebelum mendapati suaminya tiada di bilik di rumah mereka di Jasin Perdana, Taman Jasin Perdana, Bemban, di sini.

Katanya, sebelum kejadian mereka tidak mempunyai masalah rumah tangga dan hidup seperti biasa.

“Dia hilang begitu saja…telefon dimatikan, WhatsApp tak jawab. Facebook pun tak aktif.

“Kami tak bergaduh… tak ada apa-apa pun. Saya malah tanya anak-anak adakah ibu marah atau bergaduh dengan ayah…takut tidak perasan, tapi mereka kata tiada.

“Hari pertama saya tunggu dia balik, tapi sampai hari ini pun tak muncul. Suami hanya membawa beberapa helai pakaian sebelum keluar menaiki Perodua Viva jingga bernombor pendaftaran JPV 5992,” katanya menahan sebak ketika dihubungi semalam.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin pada 12 Disember lalu selepas suaminya masih gagal dihubungi.

Menurut Masitah, pihak UTeM memaklumkan Jazlan memohon cuti tiga hari bermula 10 hingga 12 Disember, namun hal itu tidak dimaklumkan kepada keluarga.

Katanya, mereka dikurniakan tiga anak berusia 12 tahun, lapan tahun dan setahun lima bulan, dengan anak kedua paling terkesan akibat kehilangan itu.

“Suami rapat dengan anak kedua… selalu bawa ke surau dan main basikal waktu petang,” katanya.

Beliau berkata, keluarganya turut membantu mencari termasuk di laluan yang biasa digunakan suaminya untuk tempat kerja kerana bimbang berlaku kemalangan.

Menurutnya, polis memaklumkan terdapat transaksi akaun bank suaminya di Johor, menimbulkan kemungkinan lelaki itu berada di luar Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert mengesahkan laporan diterima dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan Jazlan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan M Vimala di di talian 012-2196799 atau balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top