Mahkamah Rayuan perintah pegawai kesihatan bela diri atas pertuduhan laku persetubuhan luar tabii

Mahkamah Rayuan perintah pegawai kesihatan bela diri atas pertuduhan laku persetubuhan luar tabii

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan seorang pegawai kesihatan daripada tujuh pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita dan memerintahkan agar lelaki itu dipanggil untuk membela diri.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 10 Dis 2025 yang mengekalkan pembebasan Mohd Faris Helmi Ab Rahim, 38, bagi kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

“Perintah Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen diketepikan dan kami mendapati satu kes prima facie telah dibuktikan terhadap responden (Mohd Faris Helmi). Oleh itu, responden diperintahkan untuk membela diri.

“Kes ini dikembalikan kepada Mahkamah Sesyen di hadapan hakim lain bagi membolehkan responden membela diri mengikut undang-undang dan tarikh pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Pasir Mas (Kelantan) ditetapkan pada 15 Okt,” katanya.

Noorin bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Pada 16 April 2024, Mahkamah Sesyen Pasir Mas melepas dan membebaskan Mohd Faris Helmi selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Lelaki itu didakwa atas tujuh pertuduhan melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 34 tahun yang juga pemilik kedai bakeri di dalam kereta di hadapan sebuah sekolah menengah agama di Pasir Mas dan stesen minyak di Salor.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5.30 petang 29 Julai 2019 dan 1 tengah hari 18 Sept 2021, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Noorin dalam penghakiman itu berkata Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang dengan mengenakan suatu tahap pembuktian melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan.

“Dengan menganggap persoalan persetujuan atau tiada persetujuan sebagai suatu elemen yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan di bawah Seksyen 377B, Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila menganggap keterangan saksi pendakwaan pertama (mangsa) tidak mencukupi pada peringkat itu sedangkan keterangan tersebut bukan keterangan yang secara semula jadi tidak boleh dipercayai.

“Perkara-perkara yang dibangkitkan terhadapnya adalah perkara yang sewajarnya diuji melalui pembelaan responden. Kami dapati Mahkamah Tinggi pula tidak membetulkan kekhilafan itu, sebaliknya mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen. Oleh itu, terdapat asas sewajarnya untuk mahkamah ini campur tangan dalam keputusan dua mahkamah tersebut,” katanya.

Noorin berkata mahkamah mendapati keterangan mangsa merupakan keterangan secara langsung berhubung perbuatan material yang menjadi inti pati pertuduhan dan bukannya suatu keterangan yang secara semula jadi tidak boleh dipercayai.

“Seorang saksi mungkin boleh dicabar kredibilitinya, tetapi itu tidak bermakna keterangannya secara semula jadi tidak boleh dipercayai.

“Sama ada keterangan saksi tersebut akhirnya dapat bertahan selepas penelitian yang sewajarnya pada akhir keseluruhan kes adalah perkara yang sepatutnya diputuskan selepas responden diberi peluang untuk menjawab kes pendakwaan,” katanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham manakala peguam Siti Syaerah Meor Zulkefli ‘Auni mewakili Mohd Faris Helmi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top