am@hmetro.com.my
Kinabatangan: Dua sahabat terharu dan sebak sebaik selesai mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bilit, di sini, hari ini.
Siti Arbaya Erak, 51, dan Ninita Ibbah, 50, dari Kampung Bilit, dekat sini, berkongsi perasaan mereka itu kerana teringat kenangan membesar dengan penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Siti Arbaya berkata, mereka berharap pemimpin yang bakal menggantikan tempat arwah itu mampu membawa pembangunan seperti yang dilakukan, selain mendengar rintihan rakyat.
“Rasa sedih tiba-tiba selepas mengundi sebab teringat arwah. Kami membesar bersama di kampung ini, sudah tentu kami berasa kehilangan yang besar.
“Sampai sekarang lihat di mana-mana gambarnya, mesti rasa sebak,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi itu.
Ninita berkongsi perasaan yang sama apabila turut dilihat sebak ketika ditemubual pihak media.
Menurutnya, kampung mereka sudah dilengkapi kemudahan asas iaitu bekalan air dan elektrik.
“Cuma kami berharap penggantinya nanti boleh menyediakan kemudahan rumah sebab ramai anak muda yang sudah berkahwin tapi tiada rumah sendiri, terpaksa tinggal dengan orang tua mereka,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
SK Bilit adalah antara 36 pusat pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRK berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




