Mampukah Blues atasi Palace malam esok?

Mampukah Blues atasi Palace malam esok?

Malam esok bukan sekadar satu lagi perlawanan Liga Perdana Inggeris bagi Chelsea dan Crystal Palace, tetapi naskhah penting buat pengurus baharu The Blues, Liam Rosenior, dalam cabaran membentuk identiti baharu pasukan di bawah pengendali muda itu.

Chelsea melangkah ke Selhurst Park dengan harapan tinggi bahawa mereka dapat mengatasi tekanan luar dan dalam, selepas menunjukkan sedikit tanda baik di tangan Rosenior, terutama dalam tiga kemenangan daripada empat perlawanan terakhir.

Namun kelemahan Blues masih terserlah kerana mereka belum menang sejak lima perlawanan liga terakhir di tempat lawan, satu statistik yang sukar ditolak begitu sahaja.

Dari sudut penulis, transformasi pasukan Rosenior tidak boleh dilihat melalui satu atau dua keputusan semata-mata. Taktikal Rosenior tampak mahu mengekalkan penguasaan bola dan tekanan tinggi, tetapi ia masih dalam proses adaptasi oleh kebanyakan pemain.

Chelsea dilihat cuba menguasai permainan melalui perpaduan barisan tengah, meletakkan beban kepada pemain seperti Enzo Fernandez dan Moises Caicedo untuk memacu tempo permainan dan memberi ruang buat penyerang mara ke depan.

Situasi ini membuka ruang kepada Palace untuk menjadi pengacau terutama dalam konteks mereka bermain di tempat sendiri walaupun berada dalam prestasi sukar, tanpa kemenangan dalam lebih tujuh perlawanan terakhir.

Melihat kembali kepada sejarah, Chelsea mendominasi pertemuan ini kerana Blues tidak kalah dalam 16 perlawanan liga berturut-turut menentang Palace, termasuk seri terbaharu musim ini.

Tetapi statistik tidak pernah menjamin tiga mata, lebih-lebih lagi di stadium seperti Selhurst Park, di mana Palace sering memberi tekanan fizikal.

Masalah pemain juga mencorakkan keadaan. Cole Palmer, salah seorang pemusnah utama Chelsea di bahagian serangan, masih dalam proses pemulihan kecederaan, dan ketiadaannya sekurang-kurangnya menjejaskan kreativitinya di depan gol.

Di seberang padang, Palace lebih memilih pendekatan bertahan dan ketidakstabilan mereka sendiri memberi ruang buat Blues menjaringkan gol.

Tetapi penulis percaya, bola sepak bukan sekadar statistik. Pada malam esok, kunci kemenangan mungkin datang daripada keupayaan Chelsea mengekalkan fokus mental mereka, bukan sahaja taktikal dan di sinilah Rosenior bakal diuji sebagai pengurus yang cuba mengukir legasinya di Stamford Bridge.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top