Liverpool: Pengendali Liverpool, Arne Slot menyalahkan keletihan sebagai punca kekalahan pertama pasukannya dalam 14 perlawanan selepas pemain Bournemouth, Amine Adli menjaringkan gol pada detik akhir perlawanan untuk memastikan kemenangan 3-2 milik The Cherries, awal pagi tadi.
Slot berjaya menstabilkan prestasi pasukan sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas melalui fasa sukar dengan sembilan kekalahan daripada 12 perlawanan awal musim buat juara England itu.
Namun, The Reds kini gagal mencatat kemenangan dalam lima aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus memberi tamparan besar terhadap misi mereka memburu slot Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Berbeza dengan prestasi domestik, Liverpool melangkah besar ke pusingan 16 terbaik UCL selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Marseille, Rabu lalu.
Bagaimanapun, Slot menegaskan jadual perlawanan yang padat serta kekangan pemain akibat kecederaan menyebabkan pasukannya kehabisan tenaga.
Pelawat bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menyamakan kedudukan ketika baki 10 minit perlawanan menerusi jaringan Virgil van Dijk dan Dominik Szoboszlai.
Namun, Bournemouth memiliki beberapa peluang keemasan pada penghujung perlawanan sebelum Adli meledak gol kemenangan pada minit ke-95.
“Mereka memiliki lebih banyak peluang berbanding kami dalam 10 minit terakhir dan perkara itu tidak mengejutkan saya kerana kami beraksi hanya dua hari selepas perlawanan di Marseille.
“Dalam empat, lima hingga 10 perlawanan terakhir, kami menggunakan pemain sama kerana kekangan pemain yang ada dan ada antara mereka menunjukkan keletihan pada penghujung perlawanan.
“Itu yang dapat dilihat pada aksi hari ini,” kata Slot.
Gol kedua Bournemouth hadir ketika Liverpool beraksi dengan 10 pemain selepas Joe Gomez dikeluarkan akibat kecederaan sekali gus menambah masalah Slot di posisi pertahanan tengah.
Pemain tengah, Wataru Endo terpaksa mengisi peranan di benteng pertahanan berikutan ketiadaan Ibrahima Konate yang bercuti atas faktor kematian bapanya, manakala Giovanni Leoni terpaksa melupakan baki musim selepas mengalami kecederaan ligamen lutut.
Slot memasukkan Andy Robertson pada separuh masa kedua meskipun timbul spekulasi kapten Scotland itu berpotensi menyertai Tottenham sebelum jendela perpindahan ditutup.
Kontrak Robertson hanya berbaki enam bulan dan dilaporkan mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan selepas jatuh dalam hierarki pilihan di Anfield di belakang Milos Kerkez.
Namun, Slot menegaskan beliau memerlukan semua pemain yang ada ketika ini.
“Saya perlukan semua pemain. Robertson dimasukkan pada separuh masa kerana saya tahu Milos tidak mampu beraksi selama 90 minit menentang Bournemouth yang bermain dengan intensiti tinggi.
“Masih banyak perlawanan menanti dan dengan pemain yang ada, saya perlu menguruskan mereka sebaik mungkin kerana perkara terakhir yang kami mahukan sekarang adalah kecederaan baharu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




