am@hmetro.com.my
Butterworth: Filem The Voice of Hind Rajab terus menerima sambutan hangat rakyat Malaysia apabila berjaya mencapai 53,000 tontonan selepas ditayangkan dalam tempoh 17 hari sejak 8 Januari lalu.
Aktivis kemanusiaan yang menjadi suara kempen filem itu, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) berkata, pencapaian itu membuktikan naskhah tersebut mampu menyampaikan mesej perjuangan Palestin kepada segenap lapisan masyarakat dalam perspektif lebih mendalam dan berkesan.
“Hind Rajab menjadi simbol yang sangat penting untuk kita tahu bahawa filem ini walaupun ia kisah kematian seorang kanak-kanak, tetapi secara luasnya ia mengingatkan kita bahawa inilah tanah yang kita perjuangkan, untuk mengembalikan tanah Palestin kepada orang Palestin.
“Kita harap minggu ini jualan tiket akan melepasi 60,000. Sekiranya pihak pawagam terus yakin rakyat Malaysia akan memberi sokongan, kita berpotensi mengejar 80,000 tontonan,” katanya pada kempen Gema Suara Hind Rajab di GSC Sunway Carnival, Seberang Jaya, hari ini.
Menurutnya, sasaran itu bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata sebaliknya dilihat sebagai kayu ukur dan penanda aras tahap sokongan masyarakat terhadap usaha dakwah dan kesedaran yang ingin dibawa melalui medium pawagam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang membawa anak-anak menonton filem berkenaan dan menyifatkan usaha itu penting dalam mendidik generasi muda mengenai realiti perjuangan Palestin.
“Mungkin generasi saya yang lebih berusia tidak sempat menyaksikan sepenuhnya pembebasan Palestin, namun harapan itu kita letakkan kepada generasi muda dan anak-anak yang hadir hari ini apabila kita tiada nanti, merekalah yang akan meneruskan perjuangan ini.
“Kami juga bangga kerana Malaysia menjadi antara 21 negara terawal menayangkan filem ini dan sehingga hari ini, sebanyak 44 negara telah menayangkannya, termasuk Hong Kong, Korea Selatan, Thailand dan Amerika Syarikat,” katanya.
Tambahnya, 2026 menandakan 78 tahun peristiwa hitam Nakba pada 19 Mei 1948 dan 59 tahun pendudukan Tebing Barat, Gaza termasuk Masjid Al-Aqsa di bawah rejim Israel dan menyifatkan kejayaan filem itu sebagai hasil kekuatan gerakan masyarakat sivil antarabangsa yang konsisten memperjuangkan isu Palestin sejak dua dekad lalu.
“Saya selalu menegaskan bahawa hanya ada empat kuasa saja berjuang tentang perkara ini, satu dipanggil kuasa jihad iaitu mereka yang berjuang pada tahun-tahun terdahulu, pada 1956, 1967, 1973 dan seterusnya.
“Tapi orang-orang awam di seluruh dunia sama ada Muslim dan bukan Muslim, suara gerakan sivil membela Palestin sangat kuat pada 2001, jadi ini adalah tahun ke-26 masyarakat sivil antarabangsa memperjuangkan tanah Palestin.
“Bererti kita kena ingat kalau tiada kuasa masyarakat sivil, pengarahnya pun barangkali tidak fikir menghasilkan filem ini dan kalau tidak ada kuasa masyarakat sivil dan hari ini tidak mungkin lebih 40 negara menayangkannya,” katanya.
Seorang penonton, Syed Mohd Ekhsan Syed Ismail, 39, yang membawa keluarganya menonton filem itu tidak menyangka mesej disampaikan sangat mendalam sehingga membuatkan anak lelakinya yang berusia 11 tahun menangis.
“Kalau kita menghayati betul-betul kisah itu, dengar suara asal arwah (Hind Rajab) memang sedih dan cukup menyentuh emosi walaupun orang kata jalan ceritanya agak perlahan. Seorang lagi anak saya yang umur empat tahun pun boleh faham jalan ceritanya,” katanya.
Filem The Voice of Hind Rajab ditayangkan di 51 lokasi pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.
Sebagai tanda empati dan solidariti, Media Prima Berhad menyumbang RM1 bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.
© New Straits Times Press (M) Bhd




