Johannesburg, Afrika Selatan: Seorang lelaki dari Afrika Selatan, Martin Pistorius, disangka koma selama bertahun-tahun sedangkan dia sebenarnya boleh mendengar dan sedar keadaan persekitarannya.
Memetik Mirror UK, Martin yang kini berusia 51 tahun, mula jatuh sakit teruk pada usia 12 tahun dan awalnya gejalanya dianggap sebagai selesema, tetapi kemudian didiagnosis dengan radang otak akibat jangkitan kulat serta kuman tuberkulosis.
Difahamkan, keadaannya semakin buruk sehingga dia kehilangan keupayaan untuk bercakap, membuat kontak mata dan mengawal pergerakannya, sebelum doktor mengesahkan dia berada dalam keadaan vegetatif atau koma.
Ibu bapa Martin, Rodney dan Joan Pistorius, diberitahu oleh pihak hospital bahawa anak mereka kemungkinan besar tidak akan sedar semula, namun mereka terus menjaganya dengan penuh harapan.
Menurut media sama, Martin mula kembali sedar pada usia sekitar 14 atau 15 tahun, walaupun pada ketika itu dia masih lumpuh dan hanya mampu menggerakkan matanya sedikit.
Antara usia 16 hingga 19 tahun pula, kesedaran Martin kembali sepenuhnya, tetapi dia masih tidak mampu berkomunikasi dengan orang lain.
Difahamkan, dia dapat mendengar perbualan dan mengikuti berita dunia, termasuk kematian Puteri Diana dan serangan 9/11, tetapi tidak mempunyai kawalan ke atas tubuhnya.
Martin mengingatkan perasaan kehilangan kuasa sepenuhnya terhadap badan sendiri sebagai pengalaman paling buruk dalam hidupnya, di mana setiap perkara dalam hidup ditentukan oleh orang lain.
Bagaimanapun, ibu Martin pernah tanpa sedar mengucapkan “Saya harap awak mati” kerana terdesak, namun Martin lama-kelamaan memahami perasaannya.
Dia menghabiskan hari-harinya di pusat penjagaan khas, menonton episod ‘Barney the Dinosaur’ berulang kali dan cuba memberi isyarat bahawa dia sedar.
Dalam pada itu, perubahan berlaku apabila ahli terapi, Virna van der Walt menyedari, pergerakan mata kecil Martin dan mendesak ujian kognitif dilakukan, membolehkannya perlahan-lahan berkomunikasi melalui komputer khas.
Selepas semakin sembuh, Martin kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam sains komputer dan kini bekerja sebagai pembangun web dan saintis komputer serta menerbitkan memoir Ghost Boy pada 2012.
Dia sekurang-kurangnya berada dalam keadaan tidak sihat selama lebih kurang 26 tahun sebelum sihat sepenuhnya pada 2012.
Dia kemudian berkahwin dengan pekerja sosial, Joanna dan kini mempunyai seorang anak serta hidup bahagia sebagai sebuah keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




