sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Imigresen FC, 1-0, dalam aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Dalam aksi pertama di Stadium Batu Kawan sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan.
Luqman Hakim Shamsudin muncul wira skuad Hobin Jang Hobin apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Susulan kemenangan itu, Negeri Sembilan bakal bertemu Selangor FC pada peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Terdahulu, persembahan kedua-dua pasukan dilihat seimbang apabila masing-masing berusaha menguasai permainan dan melakukan serangan.
Bagaimanapun pasukan tuan rumah mempunyai beberapa peluang mendapatkan gol dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan apabila memperoleh empat sepakan sudut , namun gagal dimanfaatkan dengan baik untuk menjaringkan gol.
Skuad bimbingan Nidzam Jamil hampir mendapatkan gol pertama pada minit ke-32, namun tandukan An Sangsu yang menerima bola hasil tendangan bebas dari luar kotak penalti diambil Takumi Sasaki sekadar terkena tiang.
Negeri Sembilan kemudian mendapat sepakan penalti pada minit ke-45 selepas Joseph Esso dikasari namun sepakan diambil Takumi Sasaki dapat diselamatkan penjaga gol Imigresen, Muhammad Zarif Irfan Hasimuddin, sekali gus menamatkan separuh masa pertama terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, anak buah Nidzam Jamil dilihatkan berusaha meningkatkan intensiti persembahan mereka dengan melakukan serangan bertali arus ke kawasan kubu pasukan lawan.
Kerja keras mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Luqman Hakim Shamsudin yang menerima bola hantaran Selvan melakukan sepakan padu dari dalam kawasan penalti dan menerjah jaring imigresen bagi gol pertama tuan rumah pada minit ke-61.
Dalam satu serangan balas kemudiannya, Mohamad Fayadh Zulkifli Amin berjaya menjaringkan gol penyamaan Imigresen pada minit ke-63, namun jaringan itu tidak dikira kerana dia berada dalam kedudukan offside.
Usaha anak buah Yusri Che Lah untuk mencari gol penyamaan dan mengheret perlawanan sehingga ke penghujung saingan tidak kesampaian meskipun mereka melakukan asakan apabila perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Negeri Sembilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




