Rasman Ithnain dakwa penduduk Sedili masih rindu khidmatnya tiga penggal

Rasman Ithnain dakwa penduduk Sedili masih rindu khidmatnya tiga penggal

mahaizura@mediaprima.com.my

Kota Tinggi: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili selama tiga penggal, Rasman Ithnain mendakwa khidmatnya masih dirindui sebahagian penduduk yang pernah menikmati pelbagai pembangunan dan program komuniti ketika beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Calon Perikatan Nasional (PN) berusia 59 tahun itu berkata, sepanjang lima hari tempoh berkempen, masih ramai pengundi yang ditemuinya menyatakan kerinduan terhadap pendekatan beliau yang gemar menganjurkan pelbagai aktiviti bersama masyarakat.

Katanya, sepanjang menjadi ADUN, beliau bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, malah menghidupkan kawasan luar bandar dan Felda menerusi pelbagai program yang disesuaikan dengan minat penduduk.

“Saya tidak nafikan ramai yang kenal masih suka dan merindui ‘air tangan’ saya.

“Antara program yang pernah saya anjurkan termasuk pertandingan memikat burung terkukur yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh negara, perhimpunan kereta antik Volkswagen peringkat ASEAN di Pantai Teluk Mahkota serta kelas luncur ombak bagi golongan belia.

“Di kawasan Felda dan luar bandar pula, kita tidak boleh tunggu orang datang sebaliknya kita yang perlu bawa aktiviti kepada mereka kerana itu cara mengasah bakat anak muda dan merancakkan ekonomi setempat,” katanya ditemui ketika beramah mesra dengan penduduk Kampung Batu 1 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bukan semua pengundi berkongsi sentimen sama kerana masih ada tidak menyokongnya termasuk sebahagian pengundi ‘totok’ (tegar) Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak pernah memandang rendah kelompok itu kerana menghormati hak setiap pengundi untuk membuat pilihan berdasarkan pertimbangan masing-masing.

“Jadi, saya lebih suka jumpa semua orang kerana dalam politik kita tidak boleh anggap orang ini undi kita atau orang itu tidak undi kita.

“Tugas saya ialah bertemu seramai mungkin pengundi secara fizikal dan beri peluang mereka menilai sendiri,” katanya.

Mengulas keputusan kembali bertanding di DUN Sedili, Rasman berkata, beliau mahu menyempurnakan pelan pembangunan yang dirancang ketika menjadi wakil rakyat terutama membabitkan lot generasi kedua Felda yang didakwanya masih memerlukan kemudahan asas.

Katanya, penyediaan lot untuk generasi kedua sudah berjaya dilaksanakan sebelum ini, namun masih banyak infrastruktur seperti jalan, bekalan elektrik dan air yang belum disiapkan sehingga menyukarkan pemilik membina serta mendiami rumah.

“Sebab itu saya kembali bertanding. Pelan pembangunan itu sudah ada, tetapi pelaksanaannya perlu diteruskan supaya generasi kedua Felda tidak terus menunggu,” katanya.

Sepanjang tiga penggal menjadi ADUN Sedili, Rasman berkata, antara pencapaian paling dibanggakan ialah membawa projek jalan menghubungkan Waha ke Sedili Kecil bernilai kira-kira RM160 juta.

Beliau turut mengetengahkan penyelesaian isu lot generasi kedua Felda yang diusahakan selama hampir sedekad sehingga penerima memperoleh hak milik tanah selain membangunkan penempatan untuk keluarga berpendapatan rendah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Taman Sinar Sedili.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Rasman bakal mencabar penyandang kerusi DUN Sedili dari Barisan Nasional (BN), Muszaide Makmor bersama calon Pakatan Harapan (PH), Amirul Husni Onn dalam saingan tiga penjuru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top