London: Pemain muda Brazil, Estevao Willian, mempamerkan aksi mengagumkan ketika menggantikan Cole Palmer yang cedera untuk membantu Chelsea mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park, sekali gus kembali ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Estevao membuka jaringan sebelum Joao Pedro dan Enzo Fernandez menambah dua lagi gol, manakala Palace terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Adam Wharton dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Palace hampir mendahului perlawanan apabila Jean-Philippe Mateta berdepan situasi satu lawan satu dengan Robert Sanchez, namun percubaannya terus ke arah penjaga gol Chelsea itu.
Chelsea mula menguasai permainan dan membuka tirai jaringan pada minit ke-34 hasil kesilapan hantaran ke belakang Jaydee Canvot yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Estevao, sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Dean Henderson.
Pemain berusia 18 tahun itu sekali lagi mencipta impak selepas rehat apabila hantarannya menemui Joao Pedro, yang berpusing melepasi Wharton sebelum meledak gol kedua Chelsea.
Chelsea kemudian mendapat sepakan penalti selepas percubaan Joao Pedro terkena tangan Canvot di dalam kotak penalti, dengan Fernandez tenang menyempurnakan peluang itu.
Malang terus menimpa Palace apabila Wharton, yang sudah mengutip kad kuning pertama, dibuang padang selepas melakukan terjahan lewat ke atas Moises Caicedo.
Chris Richards menjaringkan gol saguhati Palace pada minit ke-88, namun ia tidak cukup untuk menghalang kekalahan yang menyebabkan mereka jatuh ke tangga ke-15 liga.
Chelsea kini memintas Liverpool untuk kembali ke empat teratas, namun beraksi lebih satu perlawanan berbanding Manchester United.
© New Straits Times Press (M) Bhd




