am@hmetro.com.my
Gua Musang: Pelajar lelaki maut dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal ditunggangnya kemalangan di Jalan Kampung Baru, Limau Kasturi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 7.10 pagi itu, Amsyar Zafran Amran, 15, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jeram Tekoh.
Sementara pembonceng yang juga adik perempuannya berusia 13 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM).
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman kejadian pada 9.05 pagi, dengan kemalangan berlaku membabitkan motosikal mangsa dan sebuah van.
“Siasatan awal mendapati van dipandu lelaki berusia 58 tahun dari arah Bertam menghala ke Sungai Asap cuba memotong lori di hadapan dan pada masa sama mangsa juga mahu memotong lori berkenaan.
“Namun motosikal mangsa hilang kawalan disebabkan bahu jalan tidak berturap dan terbabas ke bahu jalan sebelah kanan menghala ke Sungai Asap.
“Penunggang motosikal terjatuh di atas jalan dan van yang tidak sempat mengelak telah melanggar serta menyeret mangsa kira-kira 15 meter,” katanya hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan jeram Tekoh dihantar ke Unit Forensik HGM untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




