Impak luar biasa Carrick cetus kebangkitan United

Impak luar biasa Carrick cetus kebangkitan United

London: Michael Carrick menggesa Manchester United meneruskan permulaan luar biasa di bawah kendaliannya selaku pengendali sementara selepas rembatan padu Matheus Cunha mengesahkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Carrick dilantik hingga penghujung musim susulan pemecatan Ruben Amorim pada 5 Januari lalu.

Bekas pemain tengah United itu pantas merebut peluang kembali ke Old Trafford selepas disingkirkan kelab divisyen kedua, Middlesbrough, pada Jun.

United memilih jurulatih sementara bagi memberi ruang kepada pengurusan melakukan pencarian menyeluruh untuk pengganti tetap Amorim.

Namun, pemilik bersama Jim Ratcliffe bersama barisan penasihatnya dalam hierarki United mungkin menemui jawapan tepat menerusi pelantikan Carrick.

Beliau berjaya menyuntik semangat baharu dengan corak permainan lebih bertenaga berbanding aksi hambar di bawah Amorim, termasuk kemenangan 2-0 ke atas Manchester City dalam perlawanan pertama sebelum menjejaskan kempen kejuaraan Arsenal menerusi kejayaan bergaya di London utara.

United kini naik ke tangga keempat liga dan Carrick memuji pemainnya kerana memberi reaksi positif terhadap tuntutan taktikal yang diterapkan.

“Pemain menunjukkan sikap luar biasa untuk menerima cabaran, mahu melakukannya dan memberi komitmen penuh. Ia berkait dengan mesej yang kami sampaikan dan cara kami bertindak. Saya percaya kepada mereka dan cuba mempamerkan keyakinan itu.

“Ia bukan sekadar kata-kata. Mudah untuk saya bercakap dengan pemain atau mereka berbincang mengenai perlawanan, tetapi perasaan untuk benar-benar melaksanakannya itu yang penting.

“Keyakinan dan kepercayaan perlu dirasai sepenuhnya dan mereka memilikinya. Kami perlu mengekalkannya,” kata Carrick.

Carrick menggugurkan sistem pertahanan tiga pemain kegemaran Amorim, satu perubahan yang membolehkan United bermain lebih seimbang.

Keputusan pengendali berusia 44 tahun itu menempatkan Patrick Dorgu di posisi lebih menyerang turut membuahkan hasil apabila pemain pertahanan itu menjaringkan gol menentang City dan Arsenal.

Jaringan Dorgu pada babak kedua di Stadium Emirates menerjah penjuru atas gawang untuk meletakkan United di hadapan 2-1.

Gol sendiri Lisandro Martinez sebelum itu memberi Arsenal kelebihan pada separuh masa pertama sebelum Bryan Mbeumo menyamakan kedudukan.

Mikel Merino tampak menyelamatkan satu mata buat Arsenal menerusi gol penyamaan lewat permainan, namun penyerang Brazil, Cunha melepaskan rembatan deras dari jarak 20 ela pada minit ke-87 untuk memastikan kemenangan United.

“Saya rasa kami memahami aliran perlawanan. Ada ketika kami perlu bertahan dan bekerja keras, namun dalam masa sama kami mahu mengawal permainan,” kata Carrick.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top