Salah ikut 'langkah kiri' Kuyt

Salah ikut 'langkah kiri' Kuyt

London: Pemain sayap Liverpool, Mohamed Salah menyamai rekod yang tidak diingini di kelab itu selepas kekalahan kepada Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Liverpool menyaksikan rekod 13 perlawanan tanpa kalah mereka berakhir dengan kekalahan mengecewakan 2-3 kepada Bournemouth sekali gus terkeluar daripada kelompok empat teratas EPL secara dramatik.

Penyerang Mesir itu diturunkan dalam perlawanan tersebut dan kini berada dalam senarai kesebelasan yang kalah dalam tujuh daripada lapan penampilan terakhirnya di Liga Perdana.

Statistik suram ini menyamai rekod pernah dicatatkan oleh legenda kelab, Dirk Kuyt, ketika tempoh sukar Liverpool pada 2012 di bawah kendalian Brendan Rodgers, satu angka yang menggambarkan musim Salah setakat ini di bawah pengurus Arne Slot.

Salah turut dikenal pasti sebagai salah satu sasaran utama Liga Pro Saudi menjelang jendela perpindahan musim panas akan datang, dan besar kemungkinan beliau akan meninggalkan EPL selepas beberapa musim yang sangat cemerlang.

Banyak pihak menggesa supaya pemain berusia 33 tahun itu digugurkan daripada kesebelasan utama, satu pendekatan yang pernah digunakan Slot sebelum Salah berangkat ke Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal musim ini.

Namun, Liverpool kini berdepan kekurangan pilihan di bahagian serangan untuk dijadikan sandaran.

Tumpuan kini beralih ke Liga Juara-Juara Eropah, di mana Liverpool akan menentang Qarabag dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Slot dan anak buahnya kini berada di tangga keempat kumpulan, dan keputusan seri sudah memadai untuk memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top