PSM persoal pengumuman hospital baharu Bandar Enstek

PSM persoal pengumuman hospital baharu Bandar Enstek

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoal tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengumumkan pembinaan hospital baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan ketika pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir.

Setiausaha PSM Negeri Sembilan, S. Tinagaran berkata, pembinaan hospital berkenaan adalah perlu bagi meningkatkan kemudahan kesihatan awam, sejajar dengan pertumbuhan pesat penduduk.

Katanya, bagaimanapun, kerajaan perlu menjelaskan mengapa pengumuman dibuat ketika rakyat sedang bersiap sedia memilih kerajaan negeri yang baharu.

“Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka melihat pengumuman ini sebagai satu lagi contoh politik pembangunan yang sering diamalkan parti-parti pemerintah menjelang pilihan raya.

“Amalan mengumumkan projek besar menggunakan dana awam pada musim pilihan raya memberi kelebihan politik kepada pihak yang memegang kuasa selain bercanggah dengan semangat persaingan demokrasi yang adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tinagaran berkata, hospital itu akan dibiayai menggunakan wang rakyat dan bukannya dana mana-mana parti politik.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya menggunakan pengumuman projek awam untuk meraih keuntungan politik atau mempengaruhi kecenderungan pengundi.

Ujarnya, sekiranya projek benar-benar telah dirancang lebih awal, kerajaan perlu mendedahkan secara terbuka status kelulusan, kos pembinaan, sumber pembiayaan, garis masa pelaksanaan serta sasaran tarikh siap.

“Langkah itu penting bagi memastikan rakyat tidak sekadar disajikan dengan pengumuman atau janji yang belum tentu diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar,” katanya.

Tambahnya, rakyat Negeri Sembilan semakin matang dalam membuat penilaian politik dan mahukan dasar yang konsisten, perancangan yang telus serta komitmen berterusan terhadap kesejahteraan rakyat, bukannya pengumuman bermusim menjelang pilihan raya.

“Hospital awam adalah hak rakyat dan ia bukan hadiah pilihan raya, juga bukanlah alat kempen dan modal politik,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top