Kenyataan Marina tidak jejaskan kempen PH

Kenyataan Marina tidak jejaskan kempen PH

BATU PAHAT: Kenyataan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim mengenai sokongan seorang pemimpin DAP terhadap pengampunan diraja kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menjejaskan kempen Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kenyataan pemimpin tertentu terhadap PH terutamanya DAP tidak mengganggu-gugat peluang gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Jika kita lihat dari segi kehadiran acara-acara bagi PH termasuk beberapa hari lalu saya di DUN Bentayan, sokongan dari rakyat dan akar umbi itu sangat kukuh.

“Kenyataan-kenyataan orang seperti saudari Marina tidak mendatangkan kesan kepada kempen PH,” katanya ketika ditemui selepas ramah mesra bersama penduduk Kampung Istana di sini, hari ini.

Sebelum ini, Marina mendakwa, seorang pemimpin DAP menyokong idea untuk memberikan pengampunan diraja kepada Najib, selain membenarkannya menjalani tahanan di rumah.

Beliau mendakwa, ketika perbualan pada 12 April lalu dengan seorang pemimpin DAP yang sebelum ini lantang mengkritik Najib, pemimpin itu menyatakan bahawa tidak salah untuk Najib diberikan pengampunan dan tahanan rumah atas sumbangannya pada masa lalu.

Katanya, perbualan itu memusnahkan kepercayaannya terhadap politik dan menolak dakwaan bahawa beliau meninggalkan politik kerana dipindahkan ke kawasan lain atau bertindak atas perasaan tidak puas hati.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, tiada satu pun parti politik ketika ini mempunyai pengundi tetap atau fixed deposit termasuk Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia terbukti apabila bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengeluarkan kenyataan beralih sokongan dengan menyokong calon PH di DUN Rengit.

“Mungkin di kalangan pemimpin UMNO Johor yang mereka anggap sebagai undi tetap, kenyataan dari Mohd. Puad membuktikan beliau bukan lagi pengundi tetap BN,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top