Mohd Kurniawan Naim kemukakan soalan pertamanya kepada PM sejurus selepas angkat sumpah

Mohd Kurniawan Naim kemukakan soalan pertamanya kepada PM sejurus selepas angkat sumpah

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar menarik perhatian Dewan Rakyat apabila mengemukakan soalan pertamanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), walaupun baru saja mengangkat sumpah pagi ini.

Melihat Ahli Parlimen baharu itu bangun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberikan peluang kepada beliau untuk mengemukakan soalan tamabahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nak jemput Ahli Parlimen yang baharu, Kinabatangan. Ambil masa, tarik nafas, sila soalan,” katanya, yang disambut sorakan oleh Ahli Parlimen.

Mohd Kurniawan Naim menyambut jemputan itu dengan senyuman sebelum bangun bertanya sama ada peluang kemasukan pelaburan asing ke negara ini akan turut ke kawasan luar bandar.

“Syabas dan tahniah atas pelaburan yang begitu tinggi, dan saya sangat bersyukur sebagai rakyat Malaysia.

“Cuma, apakah peratusan pelaburan yang besar itu untuk masuk ke luar bandar, seperti Kinabatangan dan kawasan pedalaman lain?” katanya.

Perdana Menteri dalam jawapannya mengucapkan tahniah kepada Mohd Kurniawan kerana mengemukakan soalan awal dan kemudian menjelaskan, kerajaan tidak mengawal kemasukan pelaburan ke negara ini, kecuali dari sudut keutamaan bidang, seperti elektrik dan elektronik (E&E), teknologi tinggi atau bidang membabitkan pelaburan bernilai.

Bagaimanapun katanya, dari segi dasar lain, kerajaan sentiasa memastikan pembangunan lebih menyeluruh dan adil, mengambil kira kawasan pedalaman, yang agak tertinggal atau terbiar, dalam kerangka ekonomi dan kewangan.

“Saya tentu ambil perhatian kerana mandat meyakinkan yang diperoleh Yang Berhormat. Tentunya kerajaan harus beri perhatian untuk memberikan suntikansupaya ekonomi di Kinabatangan berkembang,” katanya.

Terdahulu, sebelum sesi MQT, Mohd Kurniawan Naim mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada Sabtu lalu, sekali gus berjaya mempertahankan kerusi yang disandang bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sejak 1999.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top