Messi dijulang, jasa kepada kanak-kanak turut dihargai

Messi dijulang, jasa kepada kanak-kanak turut dihargai

Oviedo, Sepanyol: Lionel Messi menerima anugerah sukan paling berprestij di Sepanyol pada Jumaat sebagai pengiktirafan terhadap karier gemilangnya serta sumbangan dalam memperluas akses kesihatan dan pendidikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

Penyerang Argentina berusia 39 tahun itu diumumkan sebagai penerima Anugerah Puteri Asturias bagi Sukan pada Jun lalu. Juri memuji beliau sebagai “pemain bola sepak paling berjaya sepanjang zaman” selain mengiktiraf kerja kebajikannya.

Puluhan peminat yang memakai jersi Argentina bersorak dan melaungkan nama Messi ketika beliau tiba di majlis penyampaian anugerah di Oviedo, ibu negeri Asturias di utara Sepanyol, dengan iringan bunyi bagpipe dan gendang.

Messi menerima skrol rasmi daripada Puteri Leonor, pewaris takhta Sepanyol yang menjadi nama kepada anugerah berkenaan. Leonor turut memuji “karier unik” bintang bola sepak itu.

“Beliau menjadikan sesuatu yang luar biasa sebagai kebiasaan menerusi kebijaksanaan membaca permainan dan memilih tindakan paling berkesan dalam masa beberapa saat, sambil mengutamakan semangat berpasukan berbanding kepentingan diri,” kata Leonor.

Dianggap antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, Messi memenangi lapan anugerah Ballon d’Or, Piala Dunia serta puluhan trofi di peringkat kelab.

Beliau menghabiskan 21 tahun bersama Barcelona dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang mendominasi bola sepak Sepanyol serta Eropah di bawah kendalian Pep Guardiola dan Luis Enrique.

Selepas meninggalkan kelab Catalan itu pada 2021, Messi beraksi selama dua tahun bersama gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), sebelum menyertai Inter Miami dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS), Amerika Syarikat.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina yang turut memegang rekod bantuan gol dan penampilan antarabangsa terbanyak negara itu mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa pada awal tahun ini selepas tewas kepada Sepanyol pada final Piala Dunia di New Jersey.

“Perkara paling penting adalah mengetahui cara menerima kekalahan dan meraikan kemenangan,” kata Messi ketika menghadiri satu program bersama kanak-kanak di Oviedo. Beliau menyifatkan sikap itu sebagai sesuatu yang “asas” dalam bola sepak.

Anugerah Puteri Asturias yang diperkenalkan pada 1981 dianggap antara pengiktirafan paling berprestij di dunia berbahasa Sepanyol dan disertakan hadiah wang tunai sebanyak €50,000 (RM228,500)

Anugerah itu merangkumi bidang seni, sains dan sukan serta disampaikan setiap tahun bagi menghargai usaha meningkatkan keharmonian hidup manusia, perpaduan dan kerjasama global.

Penulis Britain, Julian Barnes, angkasawan Amerika Syarikat yang mencipta sejarah, Christina Koch, serta bintang punk, Patti Smith, turut menerima anugerah masing-masing pada Jumaat.

Antara penerima terdahulu bagi kategori sukan termasuk legenda tenis Serena Williams dan Rafael Nadal, pemegang rekod maraton Eliud Kipchoge serta pemain ski Amerika Syarikat, Lindsey Vonn.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top