Kredit: Ketua Cef, Mohd. Faizal Abdul Ghani, Temple Tree Resort Langkawi
BURGER dan rendang mungkin jarang digandingkan dalam satu hidangan, namun gabungan kedua-duanya menghasilkan sajian yang menarik untuk dicuba.
Kelainan resipi ini terletak pada daging yang dicampurkan dengan ramuan dan rempah rendang sebelum dibentuk menjadi patti.
Memuatkan artikel berkaitan…
Patti itu kemudian dilapisi keju dan dihidangkan bersama ban untuk melengkapkan sajian. Selamat mencuba!
Bahan-bahan patti rendang:
• 2 kilogram daging lembu kisar
• 150 gram serai (bahagian putih sahaja)
• 50 gram lengkuas
• 100 gram bawang besar Bombay
• 50 gram bawang putih
• 15 gram daun limau purut (dihiris halus)
• 100 gram serbuk kari
• 100 gram serbuk roti
• 5 biji telur
• 20 gram garam
• 5 gram lada hitam kisar
Bahan-bahan burger:
• 1 keping (kira-kira 135 gram) patti daging rendang
• 1 biji ban burger
• 1 keping keju cheddar
• 50 gram acar
• 100 gram kentang goreng halus
• 30 gram daun salad
• 30 gram timun (dihiris)
• 5 mililiter minyak masak
Cara penyediaan:
1. Cincang halus serai, lengkuas, bawang besar, bawang putih dan daun limau purut.
2. Masukkan semua bahan cincang dalam keadaan mentah terus ke dalam daging kisar. Jangan tumis atau masak bahan-bahan tersebut terlebih dahulu.
3. Tambahkan serbuk kari, serbuk roti, telur, garam dan lada hitam. Gaul semua bahan sehingga sebati. Elak gaul terlalu lama atau memadatkan daging.
4. Bahagikan adunan kepada kira-kira 20 bahagian dan bentukkan setiap satu menjadi patti seberat lebih kurang 135 gram. Sejukkan selama 30 minit.
5. Panaskan gril atau kuali dengan sedikit minyak. Masak patti selama 4 hingga 5 minit pada setiap bahagian sehingga masak sepenuhnya. Letakkan keju cheddar di atas patti pada minit terakhir dan biarkan cair.
6. Belah dan bakar ringan ban burger. Susun daun salad, timun, patti berkeju dan acar, kemudian tutup dengan bahagian atas ban.
7. Hidangkan burger keju rendang bersama 100 gram kentang goreng halus.
Catatan cef:
• Bahan aromatik sengaja digunakan mentah dan akan masak bersama daging ketika patti dipanggang.
• Pastikan semuanya dicincang halus supaya sekata di dalam patti.




