suzalina@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kadar pendapatan minimum pekerja gig akan dikaji secara menyeluruh oleh Majlis Perundingan Gig (MPG) sebelum syor itu dikemukakan kepada kerajaan.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), MPG berfungsi menjalankan kajian menganalisis data pasaran, meneliti amalan terbaik termasuk di peringkat antarabangsa serta membincangkan formula kadar pendapatan minimum secara menyeluruh.
Katanya, penubuhan MPG diperuntukan melalui Akta Pekerja Gig 2025 yang akan dijadikan mekanisme institusi untuk membincangkan dan mencadangkan perkara berkaitan kadar pendapatan minimum pekerja gig.
“Penentuan pendapatan minimum pekerja gig dilaksanakan melalui proses perundingan berstruktur mengikut kerangka Akta Pekerja Gig 2025.
“Kerangka ini diwujudkan kerana sifat pekerjaan gig adalah berbeza daripada pekerjaan konvensional dan memerlukan pendekatan yang lebih sesuai dengan struktur serta model operasi ekosistem platform.
“Pendekatan ini memastikan sebarang kadar yang dicadangkan adalah berasaskan data sebenar, mengambil kira variasi sektor dan lokasi, serta adil kepada pekerja gig selain mampan untuk keseluruhan ekosistem,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, menurut KESUMA, Menterinya Datuk Seri R Ramanan turut mahu pendekatan diperhalusi selaras dengan keperluan untuk memastikan isu pendapatan minimum pekerja gig dibincangkan melalui mekanisme MPG supaya keputusan yang dicapai bersifat menyeluruh, seimbang dan berasaskan fakta.
“Ruang perundingan melalui MPG kekal terbuka dan merupakan saluran rasmi yang diwujudkan undang-undang untuk tujuan terbabit,” katanya.
Menurut KESUMA, penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 sendiri membuktikan komitmen kerajaan MADANI untuk memperkukuh perlindungan pekerja gig, menyediakan saluran perundingan yang tersusun serta memastikan isu pendapatan ditentukan secara institusi dan berasaskan bukti.
Katanya, KESUMA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kesejahteraan pekerja gig dipertingkatkan melalui mekanisme yang diwujudkan.
“MPG perlu diberi ruang untuk melaksanakan fungsinya demi mencapai penyelesaian yang adil dan mampan untuk ekosistem pekerja gig negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




