redzuan.muharam@hmetro.com.my
Marang: “Memang sebak lihat keadaan adik itu walaupun saya belum berkahwin.
“Tapi saya gembira kerana dapat tolong dan tak ambil bayaran kerana memang niat nak sedekah saja.”
Itu kata tukang gunting rambut, Aiman Nashri Mohd Shafie, 25, mengenai kisahnya membantu menggunting rambut Tuah Arjuna Mohd Saifful, setahun tiga bulan yang menghidap hidrosefalus atau lebihan cecair dalam kepala dan sindrom Walker-Warburg (WWS) iaitu sejenis penyakit jarang jumpa sejak dalam kandungan.
Berkongsi kisah itu, Aiman Nashri berkata, dia memiliki kedai gunting rambut di Taman Safiah Murni, di sini, namun ada kalanya ke rumah pelanggan bergantung kepada permintaan.
Menyedari keadaan Tuah Arjuna, Aiman Nashri datang membantu kerana lebih mudah dan selesa jika dia datang sendiri ke rumah didiami kanak-kanak berkenaan.
“Saya pernah potong rambut adik itu (Tuah Arjuna) dan Jumaat lalu adalah kali kedua.
“Tapi itu pun sudah lama dan bila ibunya minta tolong, saya cuba datang juga. Walaupun sudah lapan tahun buat kerja gunting, gementar juga nak potong rambut adik itu.
“Lagipun, kepalanya lembik tapi ibunya bantu pegang adik itu dan ia buat kerja saya jadi lebih mudah. Syukur dapat selesaikan tugas itu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, jika ada kesempatan, dia sedia membantu menggunting rambut Tuah Arjuna dan anak istimewa lain.
“Sejak awal buka kedai gunting rambut, saya memang ambil pelanggan kanak-kanak walaupun tahu mereka ada ragam.
“Ia kerana saya tahu tak semua kedai terima dan cuba juga bantu anak istimewa.
“Saya tak kenakan bayaran untuk anak istimewa kerana anggap ia sebagai amal jariah,” katanya.
Sementara itu, ibu Tuah Arjuna, Zarina Che Zakaria, 35, mengakui sukar mendapatkan khidmat tukang gunting rambut yang dapat membantu anak syurganya.
Bagaimanapun, Zarina yang juga ibu tunggal dua anak bersyukur dan menghargai kesudian Aiman Nashri yang sanggup membantu tanpa mengambil bayaran.
“Jumaat lalu kali kedua adik itu (Aiman Nashri) datang bantu gunting rambut anak bongsu saya.
“Ikutkan, saya memang nak bagi duit sebagai upah tapi dia menolak kerana katanya buat dengan ikhlas.
“Kali pertama dulu pun saya nak bayar tapi dia tolak kerana katanya, tak sampai hati bila tengok anak saya. Terima kasih sangat dan saya doakan dia murah rezeki serta dipermudahkan urusan,” katanya yang masih membawa Tuah Arjuna menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) di Kuala Terengganu, Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




