Kuala Lumpur: Seorang bekas warga Malaysia yang kini bekerja sebagai pemandu kenderaan sewa peribadi (PHV) di sebuah negara jiran, berkongsi rasa hampa mengenai masa depannya mengakui terpaksa bekerja sehingga mati, lapor The Independent.
Kenyataan menyentuh hati itu diluahkan ketika perbualan santai dengan seorang penumpang sekali gus mendedahkan sisi gelap di sebalik persepsi gaji lumayan dan kestabilan yang sering dicanangkan.
Pemandu terbabit yang bertukar kerakyatan kini memikul bebanan berat apabila keputusan masa lalu mula menghantui kehidupan harian dan keluarganya.
Menurutnya, peningkatan kos sara hidup di negara seberang itu menyebabkannya sentiasa cemas tentang masa depan kerana tahap kewangannya masih belum mencapai keselesaan yang diharapkan.
Malah, disebabkan perbelanjaan yang semakin melambung dan waktu kerja yang panjang, dia menyifatkan tempoh persaraan kini bukan lagi sesuatu yang realistik untuk dicapai.
Bagaimanapun, dia berkata, isterinya masih mengekalkan kewarganegaraan Malaysia dan pilihan itu kini dianggap sebagai ‘talian hayat’ utama sekiranya mereka ingin pulang ke tanah air kelak.
Keputusan itu membolehkan mereka mempunyai pilihan untuk kembali menetap di Malaysia pada masa hadapan sekiranya kos hidup di republik itu sudah tidak mampu diuruskan.
Namun, rancangan berkenaan mempunyai had kerana dua anaknya yang lahir di negara itu memegang status warganegara dan wajib menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Fakta berkenaan menambah tekanan kepada lelaki terbabit kerana keputusan yang dibuat bertahun-tahun lalu kini mencorak masa depan anak-anaknya dalam bentuk yang tidak boleh diubah lagi.
Sehubungan itu, pemandu terbabit menyarankan supaya rakyat Malaysia hanya menjadikan negara jiran itu sebagai lokasi untuk mencari rezeki dan mengumpul wang semata-mata dan bukannya sebagai rumah kekal.
Harian Metro sebelum ini melaporkan ekonomi dan keluarga didapati menjadi faktor utama seramai 61,116 rakyat negara ini melepaskan kewarganegaraan mereka dalam dalam tempoh lima tahun lalu.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Badrul Hisham Alias berkata, secara purata dalam 10,000 orang yang memohon melepaskan kerakyatan Malaysia dalam tempoh setahun.
Menurutnya, kebanyakan pemohon mahu melepas kerakyatan negara ini untuk ke Singapura iaitu 93.78 peratus, manakala ke Australia (2.15 peratus), Brunei (0.97 peratus) dan negara
lain-lain (3.1 peratus).
© New Straits Times Press (M) Bhd




