JPJ kutip RM5.5 juta hasil Ops Tunggak Kenderaan Thailand, satu van miliki sehingga 45 saman

JPJ kutip RM5.5 juta hasil Ops Tunggak Kenderaan Thailand, satu van miliki sehingga 45 saman

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan jumlah kutipan sebanyak RM5.59 juta menerusi Ops Tunggak Kenderaan Thailand sejak 2023 hingga tahun lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata tiga kesalahan utama yang dikesan adalah tiada permit peredaran antarabangsa (ICP), tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan pamer ICP tidakmengikut kehendak yang ditetapkan.

Katanya, pada 2023, jumlah kutipan adalah sebanyak RM203,400 sebelum meningkat RM1.1 juta pada 2024 dan tahun lalu merekodkan RM4.2 juta.

“Daripada kenderaan berkenaan, terdapat satu van Thailand di Perlis yang dikesan mempunyai saman paling banyak iaitu 45 saman dengan nilainya adalah RM14,000 sejak beberapa tahun lalu. Kita mengarahkan mereka untuk selesaikan saman berkenaan sebelum melepaskan kenderaan terbabit.

“JPJ terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berdaftar Thailand sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan peraturan jalan raya di negara ini.

“Langkah ini turut memberi penekanan kepada penyelesaian saman tertunggak, khususnya membabitkan kenderaan asing yang memasuki dan menggunakan rangkaian jalan raya Malaysia.

“Berdasarkan pangkalan data JPJ, jumlah kutipan saman meningkat mendadak dan pencapaian ini mencerminkan keberkesanan strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berfokus, konsisten dan bersepadu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, JPJ ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus

diperkasa, termasuk sekatan pergerakan bagi memastikan semua kenderaan asing mematuhi peruntukan undang-undang jalan raya Malaysia.

“JPJ turut menasihatkan pemilik dan pemandu kenderaan asing supaya menjelaskan tunggakan saman serta memastikan dokumen perjalanan dan kenderaan berada dalam keadaan sah sebelum memasuki atau bergerak di dalam negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top