Padah nak nampak bergaya, akhirnya motosikal disita

Padah nak nampak bergaya, akhirnya motosikal disita

am@hmetro.com.my

Melaka: Alasan mengikut trend membawa padah kepada seorang pelajar lelaki tingkatan lima apabila motosikal ditunggangnya disita dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Paya Rumput, di sini, malam tadi.

Pelajar berusia 17 tahun dari sebuah sekolah menengah di Alor Gajah itu ditahan selepas didapati menunggang motosikal tanpa cermin sisi serta nombor pendaftaran di bahagian depan.

Ketika ditahan, dia mendakwa motosikal berkenaan bukan miliknya, sebaliknya kepunyaan kakaknya.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, motosikal pelajar terbabit antara empat motosikal dan sebuah kenderaan yang disita dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan teknikal mendapati motosikal itu mengalami ubah suai ekstrem dan tidak selamat, termasuk tiada nombor pendaftaran, tayar botak serta tiada brek belakang.

Katanya, keadaan motosikal itu boleh membahayakan keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya lain.

“Pemeriksaan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka turut mendapati bunyi ekzos motosikal berkenaan melebihi paras maksimum dibenarkan iaitu lebih 95 peratus,” katanya.

Siti Zarina berkata, sepanjang operasi berkenaan, 395 kenderaan diperiksa dengan 120 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, 244 notis dikeluarkan, dengan Notis JPJ (P22) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 210 notis, membabitkan 186 notis kepada penunggang motosikal dan 24 notis kepada kenderaan lain.

“Selain itu, Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) dan Notis Arah Periksa Seksyen 61(1) masing-masing merekodkan 14 dan 17 notis.

“Kesalahan berkaitan LKM dan insurans mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 86 kes membabitkan motosikal dan kenderaan, manakala kesalahan teknikal bagi nombor pendaftaran merekodkan 12 kes,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemeriksaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati daripada 14 individu yang diperiksa, dua daripadanya disahkan positif bahan terlarang berdasarkan ujian saringan awal.

🙂

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top