nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu : Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan kepada mana-mana bas termasuk bas pelancongan yang beroperasi tanpa memasang peranti had kelajuan (SLD).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan tegas itu bermula selepas tempoh pelaksanaan fasa pertama berakhir pada 31 Disember lalu.
“Sekarang kita sudah mula menguatkuasakan pemasangan SLD. Bas yang gagal mematuhi syarat ini akan dikenakan tindakan.
“SLB berfungsi mengehadkan kelajuan maksimum bas kepada 90 kilometer sejam, sekali gus menghalang pemandu daripada memandu melebihi had yang ditetapkan.
“Ia membabitkan beberapa fasa dan fasa pertama sudah selesai pada 31 Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) atau Bas.My yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di sini, hari ini.
Turut hadir Pengendali Bas.My Kota Bharu merangkap Pengerusi Eksekutif Konsortimum E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.
Mengulas lanjut, Loke berkata, tindakan tegas itu diambil dalam usaha mengekang pemanduan berbahaya dan mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan bas.
Katanya, selain itu kerajaan turut memperkukuh pemantauan pemandu melalui pembangunan pangkalan data pemandu bas oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Sistem ini membolehkan syarikat pengendali menyemak rekod kesalahan lalu lintas dan status lesen pemandu sebelum mereka diambil bekerja.
“Pada masa sama, kita sudah memperkenalkan pemasangan sistem telematik pada bas bagi memantau corak serta sikap pemanduan pemandu secara masa nyata.
“Sistem itu mampu merekodkan tahap keletihan, gaya pemanduan dan tahap berhemah pemandu. Telematik ini belum diwajibkan, namun kita menggalakkan syarikat pengendali memasangnya secara sukarela sebagai langkah tambahan keselamatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




