Shanghai: Saintis di China berjaya mencipta “cip gentian” fleksibel seumpama benang yang boleh ditenun ke dalam fabrik, sekali gus membuka peluang kepada penghasilan pakaian yang berfungsi sebagai skrin interaktif, lapor Xinhua.
Inovasi itu juga berpotensi membolehkan penghasilan implan otak canggih yang mampu memproses isyarat secara dalaman serta teknologi sentuhan realiti maya (VR) yang sangat realistik pada masa hadapan.
Penyelidik dari Universiti Fudan berjaya menyepadukan litar bersepadu yang menggabungkan keupayaan pemprosesan, memori dan isyarat secara terus ke dalam gentian polimer tunggal.
Gentian polimer elastik itu sangat halus dan lebih nipis daripada sehelai rambut manusia menandakan satu pencapaian besar yang melangkaui bentuk rata dan tegar cip silikon tradisional.
Ketua kajian, Peng Huisheng berkata, memandangkan tubuh manusia terdiri daripada tisu lembut, bidang antara muka otak-komputer masa depan sangat memerlukan sistem elektronik yang lembut serta patuh.
Bagaimanapun, pengarang bersama kajian, Chen Peining menjelaskan bahawa cabaran utama inovasi ini adalah membina mikroelektronik yang kompleks dan stabil pada bahan lembut yang boleh diregangkan serta dipusingkan.
Pasukan itu mengatasi had luas permukaan gentian yang kecil dengan mengambil inspirasi teknik “gulungan sushi” bagi menyelesaikan masalah permukaan litar yang tidak sekata.
Mereka mencipta permukaan ultra-licin pada elastomer boleh regang sebelum membina litar berketepatan tinggi di atas lapisan itu dan menggulungnya menjadi lingkaran pelbagai lapisan dalam gentian.
Ujian makmal menunjukkan litar gentian itu mampu bertahan daripada lenturan dan geseran sebanyak 10,000 kitaran, malah tidak rosak walaupun dilenyek lori seberat 15.6 tan.
Teknologi itu memuatkan 100,000 transistor bagi setiap sentimeter menjadikan satu meter gentian mempunyai jumlah transistor yang sama dengan unit pemprosesan pusat (CPU) komputer klasik.
Selain berupaya memproses isyarat digital dan analog, cip gentian itu juga mampu melaksanakan tugas pengkomputeran neural untuk pengecaman imej dengan tahap ketepatan tinggi.
Penyelidik berharap suatu hari nanti fabrik elektronik berasaskan cip gentian ini mampu menukar maklumat dengan kecekapan sama seperti telefon dan komputer moden.
© New Straits Times Press (M) Bhd




