Bangi: “Saya tidak tahu hendak cakap apa… Syukur Alhamdulillah. Semoga apa yang dilakukan, dapat dibalas Allah SWT dengan sebaik-baiknya.”
Itu yang diluahkan pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau kepada wartawan selepas dikunjungi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac di kediamannya di Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.
Melalui Program Ziarah Seni Prihatin Madani, Hans bertanya khabar dan memberi sumbangan kepada Shamsul yang sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS). Serdang. Yang turut hadir, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.
Shamsul yang dibenar pulang semalam selepas menjalani prosedur membuang darah beku darah beku pada otak kiri, berterima kasih di atas keprihatinan FINAS dan SENIMAN.
Shamsul yang masih dalam proses pemulihan tidak boleh bercakap lancar dan terpaksa bergantung kepada isteri, Syarifah Azrinah Syed Ibrahim, 52, untuk memberi kenyataan akibat masalah kelewatan pertuturan.
Syarifah Azrinah berkata, otak Shamsul sukar untuk memproses apa yang dilihat dan memerlukan kira-kira 90 hari untuk pulih.
“Selepas prosedur dijalani, ingatannya agak terganggu. Contohnya, nampak muka orang dia kenal, tetapi, hendak sebut nama orang itu tidak terkeluar dari mulutnya.
“Dari luaran memang dia nampak okay. Cuma itulah untuk dia pulih akan ambil masa. Rasanya lama jugalah. Jadi suami tak dapat bekerja untuk sementara waktu.
“Sekarang ini dia jadi macam budak sekolah, dia kena ada visual. Doktor nasihatkan supaya kami banyak tunjukkan gambar untuk bantu kuatkan kembali ingatannya,” katanya.
Bagi pihak suami, Sharifah Azrinah menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua anggota keluarga, rakan dan peminat yang bukan sahaja menyumbang wang, malah, makanan.
“Kami amat berterima kasih dan terharu atas keprihatinan mereka yang menyumbang wang hingga membolehkan prosedur dijalankan secepat mungkin. Jika tidak, tak tahu apa yang bakal berlaku pada suami,” katanya.
Sementara itu, Hans berkata, sebelum ini, beliau dan pengurusan FINAS tidak melawat Shamsul di HSAAS bagi memberi ruang kepada artis serba boleh itu berehat.
“Apabila kami tahu Shamsul sudah balik ke rumah, barulah kami datang menziarah. Bagi kami, ini masa sesuai untuk berjumpa dengannya.
“Jadi kami datang untuk menyampaikan sedikit sumbangan. Selepas ini, FINAS akan lihat apakah bentuk bantuan yang boleh dihulurkan.
“Shamsul beritahu dia perlukan tempoh antara dua bulan hingga tiga bulan untuk berehat sebelum kembali bekerja.
“Saya doakan semoga Shamsul sihat dan dapat kembali bekerja untuk menghiburkan rakyat Malaysia seperti yang dia dah lakukan selama 30 tahun,” katanya.
Sebelum ini, Shamsul dilaporkan mengalami pendarahan beku dalam otak dan selamat menjalani pembedahan di HSAAS, Serdang.
Difahamkan , kos pembedahan RM25,000 diperlukan sebagai deposit dan pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




