firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: PDRM FC hampir mengejutkan Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini, malam tadi.
Sebaliknya KL City harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal melakar kemenangan ke atas pasukan tercorot itu.
Malah, keputusan itu menyaksikan skuad Warga Kota gagal memintas Selangor FC di tangga kedua untuk kekal di kedudukan ketiga liga.
Manakala, skuad The Cops pula terus terperosok di dasar liga sekali gus dianggap ‘calon’ hangat untuk diturunkan pangkat ke Liga A1 musim depan.
Dalam aksi itu, tuan rumah yang dibimbing Eddy Gapil terlebih dulu mendahului hasil jaringan penyerang import, Elisha Oluwasegun Kashim di minit ke-11 selepas menerima hantaran Park Taesu.
KL City cuba mencari gol penyamaan namun kelebihan PDRM FC itu kekal hingga tamatnya babak pertama
Bersambung 45 minit kedua, skuad kendalian Risto Vidakovic tampil garang dengan melancarkan gerakan berbahaya ke kubu tuan rumah.
Hasilnya pemain pertahanan kiri, Declan Lambert mencetak nama selaku penjaring di minit 63 apabila dia menyambut cantik hantaran jauh Giancarlo Gallifuoco sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Nor Hakeem Hamidun di depan gawang.
Di hujung permainan pelawat hampir meraih gol kedua namun palang menjadi penghalang selepas Safawi Rasid melakukan tandukan, sekali gus kedua-dua pasukan sekadar berkongsi satu mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




