amir_hamid@mediaprima.com.my
DI satu sudut Kampung Rhu Tapai yang tenang di Merang, Terengganu, berdirinya sebuah struktur kayu yang memukau pandangan.
Ia bukan sekadar binaan, tetapi karya agung jelmaan ilham dan rindu yang dipahat kemas pada setiap urat kayu tembusu serta cengal.
Itulah ‘Langgar Rindu’, surau unik hasil keringat dan air mata seorang hamba Allah SWT bernama Abdul Karim Embong atau nama penanya Arif Karimi.
Beliau juga lebih mesra disapa Paksu Arif.
Bagi lelaki berusia 67 tahun ini, Langgar Rindu bukanlah projek seni bina kebiasaan yang dirancang di atas kertas pelan arkitek profesional.
Sebaliknya, ia adalah realisasi daripada mimpinya, sebelum kayu dikumpul hasil pencarian dan ada sebahagian sumbangan orang ramai, dipasak serta disambung menjadi struktur surau.
“Mimpi itu hadir seperti sebuah lukisan yang tidak bersuara, hanya gambaran,” kenang Paksu Arif.
Bermula saat itu, Paksu Arif mula menghimpun kayu sedikit demi sedikit sejak Mac 2014, sebelum memulakan pembinaan fizikal pada Julai 2018.
Menggunakan kayu tembusu dan cengal dipercayai berusia sekitar 300 tahun yang diambil dari hutan sekitar serta kayu yang ditolak oleh kilang (sawmill reject), Paksu Arif membuktikan bahawa keindahan tidak semestinya datang daripada kesempurnaan.
Dinding kayu yang berlubang-lubang semula jadi memberikan estetika organik yang jarang ditemui, malah menjadi punca pengudaraan dan pencahayaan yang sangat mendamaikan di dalam surau.
“Ini adalah karya jiwa,” katanya.
Tanpa latar belakang tukang kayu profesional, beliau mengukir setiap khat kalimah syahadah dan ayat suci menggunakan gaya tersendiri yang digelar ‘Arab Kuno’ oleh pakar khat, hasil yang lahir daripada imaginasi kreatifnya sendiri.
Dengan ukuran 1,064 kaki persegi, surau dibina tanpa sebarang lakaran pelan itu mencerminkan kemahiran dan dedikasi yang luar biasa.
Keajaiban Langgar Rindu terletak pada proses pembinaan arkitekturnya.
Paksu Arif menyiapkan surau ini hampir sepenuhnya secara bersendirian selama lapan bulan.
Ramai yang tidak percaya bagaimana seorang warga emas mampu mengangkat tiang balak yang begitu berat.
Sambil berseloroh, Paksu Arif pernah memberitahu pengunjung bahawa dia dibantu oleh ‘jin’.
Namun, jin yang dimaksudkan bukanlah makhluk halus, sebaliknya peralatan ‘chain block’ (alat pengangkat berantai) hitam yang setia membantunya.
Di sebalik gurauan itu, Paksu Arif memegang falsafah yang teguh. ‘Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah SWT’.
Beliau memilih menamakan surau ini sebagai ‘langgar’ yang bermaksud surau atau madrasah, dan ‘rindu’ pula sebagai simbolik kerinduan beribadat kepada Allah SWT.
Langgar Rindu juga adalah sebuah santapan jiwa yang didedikasikan khas buat arwah ayah dan ibunya.
Kerinduan itu terpahat dalam bait-bait puisi Langgar Rindu yang sering dialunkan beliau, manakala puisi nyata adalah struktur surau.
Malah, sebatang pohon mempelam yang berdiri teguh di belakang surau beratapkan material ‘siera’ dari Bangkok, Thailand itu mempunyai sejarah tersendiri, ia ditanam pada hari yang sama anak sulungnya dilahirkan pada Julai 1986, melambangkan akar kasih yang tidak pernah putus.
Kini, Langgar Rindu bukan sekadar tempat solat lima waktu, tetapi menjadi destinasi persinggahan tanpa mengira masa bagi mereka yang mencari ketenangan.
Paksu Arif enggan dikenali sebagai mudir atau pemilik Langgar Rindu, sebaliknya lebih selesa dianggap sebagai hamba Allah SWT yang sekadar berkarya untuk akhirat.
Langgar Rindu terus teguh berdiri sebagai saksi bahawa apabila seni bertemu dengan ketulusan agama, dan rindu bertemu dengan pengabdian, hasilnya adalah sebuah mahakarya yang tidak akan lekang dek zaman.
Bagi Paksu Arif, Langgar Rindu adalah bukti rindu yang tidak pernah padam kepada orang tua, kepada seni, kepada Nabi Muhammad SAW dan yang paling utama, kepada Allah SWT Yang Maha Esa dan Maha Pencipta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




