Crans-Montana: Bintang ski Amerika Syarikat, Lindsey Vonn menegaskan impian Olimpiknya masih belum berakhir walaupun mengalami kecederaan lutut kiri selepas terjatuh dalam perlumbaan menuruni bukit Piala Dunia, Jumaat lalu.
Atlet berusia 41 tahun itu terjatuh selepas hilang imbangan ketika mendarat daripada lompatan dalam perlumbaan terakhir sebelum Sukan Olimpik Milan Cortina yang dijadual membuka tirainya dalam tempoh seminggu lagi.
Dalam insiden itu, Lindsey gagal mengawal pergerakan sebelum meluncur ke jaring keselamatan seterusnya menerima rawatan perubatan selama beberapa minit di lokasi kejadian.
Dia kemudian dilihat menggunakan kayu ski untuk bergerak perlahan ke garisan penamat sambil beberapa kali memegang lutut kirinya.
Lindsey seterusnya diterbangkan keluar menggunakan helikopter dari kawasan perlumbaan, dengan Pasukan Ski Amerika Syarikat memaklumkan dia sedang menjalani penilaian lanjut.
Beberapa jam kemudian, Lindsey tampil memberikan perkembangan mengenai keadaannya menerusi media sosial.
“Saya terjatuh dalam perlumbaan menuruni bukit di Switzerland dan mengalami kecederaan pada lutut kiri. Saya sedang berbincang dengan doktor dan pasukan serta akan menjalani pemeriksaan lanjut.
“Ini keputusan yang sangat sukar seminggu sebelum Olimpik, tetapi jika ada satu perkara yang saya tahu, ia adalah bangkit semula. Impian Olimpik saya belum berakhir,” tulisnya di Instagram.
Perlumbaan berkenaan dibatalkan tidak lama selepas Lindsey, peserta keenam, selamat tiba di kaki bukit, dengan dua lagi peluncur iaitu Nina Ortlieb dari Austria dan Marte Monsen dari Norway turut terjatuh.
Peluncur itu sebelum ini meraih satu pingat emas acara menuruni bukit dan satu gangsa Super-G pada Olimpik Vancouver 2010, selain gangsa acara menuruni bukit di Olimpik Pyeongchang 2018.
Dia bersara selepas Kejohanan Dunia 2019 akibat kecederaan sebelum menjalani pembedahan penggantian separa lutut kanan dan kembali bertanding pada penghujung 2024.
Musim ini, Lindsey memenangi dua perlumbaan menuruni bukit dan mendahului kedudukan Piala Dunia bagi disiplin itu, selain dianggap antara calon utama pingat emas di Olimpik Itali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




