Carrick minta United kekal tenang walau bermula cemerlang

Carrick minta United kekal tenang walau bermula cemerlang

London: Pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu hanyut dengan kejayaan mengejut ke atas Manchester City dan Arsenal menjelang pertemuan menentang Fulham di Old Trafford, Ahad ini.

Carrick memulakan tugasnya dengan cemerlang apabila United menewaskan City 2-0 sebelum mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal.

Susulan keputusan itu, United yang kini berada di tangga keempat liga dijangka menjadi pilihan untuk menewaskan Fulham yang menghuni kedudukan ketujuh.

Kemenangan ketiga berturut-turut bakal menyamai rekod terbaik liga era Ruben Amorim sebelum pengendali itu dipecat awal bulan ini, sekali gus membuka peluang Carrick kekal mengemudi pasukan sehingga akhir musim.

Namun Carrick menegaskan fokus sepenuhnya diberikan kepada perlawanan seterusnya tanpa mengambil kira kejayaan lalu.

“Perasaan dalam pasukan sangat baik, tetapi apa yang berlaku sebelum ini tidak begitu relevan untuk perlawanan seterusnya.

“Kami faham apa yang berkesan dan apa yang tidak, namun pemain berada dalam keadaan mental yang baik untuk menghadapi perlawanan ini.

“Tiba-tiba ia menjadi perlawanan berbeza. Ia menentang Fulham dan hanya kerana bermain di laman sendiri, mengambil mudah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Carrick mengesahkan United sedang memantau pasaran perpindahan menjelang penutup jendela Isnin ini susulan kecederaan pemain pertahanan, Patrick Dorgu.

Pemain berusia 21 tahun itu terpaksa dikeluarkan ketika menentang Arsenal akibat kecederaan hamstring dan dijangka berehat panjang sehingga 10 minggu.

“Tak pernah kata mustahil. Banyak perkara boleh berlaku dan ada situasi di luar kawalan kami yang perlu dihadapi.

“Saya tenang. Pasukan juga tenang. Kami tahu kemampuan pasukan dan kita lihat apa yang akan berlaku dalam beberapa hari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top