am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Keutamaan untuk menjaga ibu bapa yang uzur menyebabkan pembantu tekong bot yang maut dalam tragedi bot mencandat karam di perairan Lapangan Terbang Sultan Mahmud awal pagi semalam, tidak pernah memikirkan soal mendirikan rumah tangga.
Abang arwah, Ahmad Junaidi Muhammad Jalil, 38, berkata, adiknya, Ahmad Nasaruddin, 37, beberapa kali dicadangkan keluarga supaya berkahwin, namun menolak kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada ibu bapanya.
Menurutnya, arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik tinggal bersama keluarga di Kampung Gong Datuk Baru, Padang Nenas, di sini, menjadi individu yang banyak menguruskan keperluan harian ibu bapanya, terutama bapanya, Mohammad Jalil Musa, 69, yang menghidap masalah saraf.
“Memang kami pernah cadangkan dia berkahwin, tetapi arwah tak fikir soal itu. Apa yang dia fikir hanya mak dan ayah.
“Arwah tinggal bersama keluarga. Hal berkaitan rawatan, urusan ke hospital dan membawa ayah menunaikan solat Jumaat semuanya banyak diuruskan oleh arwah.
“Dia memang banyak berkorban untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng, di sini, hari ini.
Ahmad Junaidi berkata, sikap arwah yang sentiasa mengutamakan orang lain sudah sebati dalam dirinya dan ia turut terserlah ketika tragedi bot karam itu.
Katanya, berdasarkan cerita yang diterimanya, arwah terlebih dahulu memastikan semua penumpang memakai jaket keselamatan sebelum menyedari masih ada dua pelanggan yang sedang tidur dipercayai kerana mabuk laut.
“Dia memberikan jaket keselamatan kepada mereka, termasuk yang dipakainya sendiri.
“Itulah sifat arwah. Dari dulu lagi dia memang mudah menolong orang, dia tak pernah berkira.
“Sampai ke akhir hayat pun dia masih mengutamakan keselamatan orang lain daripada dirinya sendiri,” katanya.
Menurutnya, kehilangan adiknya amat dirasai keluarga kerana arwah menjadi tempat bergantung, terutama dalam menguruskan kebajikan kedua-dua ibu bapanya.
Terdahulu, jenazah Ahmad Nasaruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng selepas solat Asar dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga, saudara-mara serta sahabat handai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




