Polis dedah perkembangan terkini kes pembunuhan teman wanita

Polis dedah perkembangan terkini kes pembunuhan teman wanita

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Lelaki yang disyaki membunuh teman wanitanya dengan menerkup muka mangsa dengan bantal dipercayai cuba mengakhiri riwayat sendiri selepas melakukan jenayah itu.

Bagaimanapun, serbuan polis ke atas rumah di Taman Damai II di sini, awal hari ini menemukan suspek, 44, dalam keadaan kritikal dengan beberapa kesan kecederaan pada badan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, keadaan dialami suspek dan mangsa dipercayai sudah berlaku beberapa hari.

“Sebaik memasuki rumah itu, polis menemukan suspek dalam keadaan kritikal kerana kecederaan akibat kesan kelar di leher dan pergelangan tangan.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek dipercayai mencederakan diri sendiri berkemungkinan berniat untuk membunuh diri.

“Kita masih menjalankan siasatan mengenai motif sebenar tindakan suspek yang menyebabkan teman wanitanya maut,” katanya ketika dihubungi.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, pasukannya dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ke rumah terbabit bersama ahli keluarga mangsa serta pemilik rumah sewa berkenaan.

Katanya, bomba terpaksa memecah pintu hadapan rumah itu pada 1230 tengah malam selepas didapati berkunci dari dalam.

“Sebelum itu, ahli keluarga memaklumkan mangsa gagal dihubungi selama tiga hari. Selepas pintu berjaya dibuka, polis menemui mangsa berusia 41 tahun dan suspek terbaring bersebelahan di atas katil dalam bilik.

“Buat masa ini, saya mengesahkan punca kematian selepas hasil bedah siasat disebabkan ‘manual strangulation and smothering’ (dicekik dan saluran pernafasan ditutup) namun cara perlakuan masih dalam siasatan,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top