Beg ditinggal sekejap dalam kereta, RM10,000 lesap

Beg ditinggal sekejap dalam kereta, RM10,000 lesap

am@hmetro.com.my

Baling: Wanita kerugian RM10,000 selepas beg galas mengandungi wang tunai miliknya yang disimpan di dalam kenderaannya di tepi pasar raya di Kupang, di sini, hilang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kehilangan wang tunai daripada wanita itu pada 11.40 pagi hari sama.

Beliau berkata, pengadu mendakwa meletakkan Toyota Avanza pada 8.30 pagi hari kejadian di lokasi kejadian berkenaan, dan meninggalkan beg galas itu untuk membeli barang keperluan.

“Selepas selesai membeli barang, pengadu terus balik ke rumah dan menyedari beg galas itu hilang dan tiada dalam kenderaannya itu.

“Berikutan itu, pengadu mengalami kehilangan wang tunai RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Brandon berkata, bertindak atas laporan polis diterima, siasatan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling.

Beliau berkata, siasatan mendapati jarak kenderaan pengadu dari pintu di hadapan pasar raya adalah kira-kira 15 meter (m).

“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati seorang lelaki yang dipercayai warga tempatan berusia antara 20-an hingga 30-an membuka pintu hadapan bahagian penumpang bahagian hadapan kenderaan itu, dan melarikan beg galas berkenaan .

“Wang tunai yang hilang adalah hasil perniagaan pengadu yang mahu disimpan di dalam bank.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri, ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top