Aktres sensasi, Nur Fazura mengakui hatinya terusik apabila melihat puteri kesayangan, Nur Fatima Aisya yang sering menjadi sasaran kecaman warganet.
Menurut Fazura, perkara itu bukan isu baharu dan jelitawan itu mendedahkan Fatima sudah menerima pelbagai kata-kata negatif sejak kecil.
“Dari awal lagi perkara ini berlaku. Sejak Fatima lahir, ada saja yang mencari salah. Masa dia masih kecil, dia belum lancar sebut nama sendiri, jadi dia memanggil dirinya Nyamma. Tapi ada yang sengaja menjadikannya bahan ejekan, siap ubah-ubah nama untuk mengusik.
“Bukan setakat itu, ada juga yang melabel macam-macam sampai kata dia mengganggu, tak patut berada di tempat tertentu. Sedangkan saya sendiri yang benarkan dia hadir ke majlis itu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Rezeki Orang Jangan Dipertikai, Nanti Makan Diri” – Nur Fazura
Tambah pelantun lagu Bulan Terbelah Di Langit Amerika ini, sebagai ibu, tugasnya adalah untuk melindungi permata hatinya.
“Saya sebagai ibu memang rasa pedih dan marah. Sebab itu saya pertahankan anak. Kalau saya diam, siapa lagi nak lindungi dia.
“Bila dia dah besar nanti, sekurang-kurangnya dia tahu ada orang yang berdiri untuk dia,” katanya.
Fazura ditemui di soft launch dan sesi meet & greet bersama wajah-wajah Jakel, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Fazura turut menzahirkan rasa syukur apabila kolaborasi Fazura X Jakel mendapat sambutan hangat daripada pembeli.
“Semuanya rezeki Allah. Bukan sebab penangan saya semata-mata. Saya memang tak sangka sambutan boleh jadi begini. Ada tiga rekaan yang dah sold out,” katanya.
Sesi meet and greet di Jakel Mall itu turut disertai tiga lagi duta Jakel iaitu Elly Mazlein, Cik Epal dan Ammar.



