Beijing: Seorang pempengaruh bina badan di China, Bi Jiaqi, dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba ketika tidur pada usia 26 tahun, baru-baru ini, lapor Mirror UK.
Bi baru-baru ini membeli sebuah rumah baharu dan berjanji untuk mengadakan jamuan makan malam bersama rakan-rakannya apabila tiba masa untuk berpindah masuk.
Malangnya, pempengaruh itu meninggal dunia sebelum rumah berkenaan diubah suai.
Dia terkenal dengan latihan intensif, dan fizikal yang mantap, serta difahamkan berbual dengan rakan-rakannya dalam talian beberapa jam sebelum kematiannya.
Namun, rakan-rakannya menyedari sesuatu yang tidak kena dalam beberapa hari sebelum itu tetapi menyangkakannya sebagai keletihan akibat latihan.
Semasa menyemak gambar terbaharu, mereka menyedari bibir Bi kelihatan ungu dan matanya penat serta saluran darah di lehernya menonjol secara luar biasa.
Simptom ini dipercayai menunjukkan kekurangan oksigen dan masalah peredaran darah yang boleh membawa kepada serangan jantung.
Awal bulan ini, Bi memuat naik swafoto dan bergurau bahawa kepalanya ‘bengkak seperti pau kukus’, yang disangkakan rakan latihannya sebagai reaksi biasa akibat kehilangan lemak ekstrem dan dehidrasi sebelum pertandingan.
Difahamkan juga, pengikut Bi di Weibo terkejut dengan kematiannya yang tiba-tiba dan ramai menyangka dia ‘tidak dapat dikalahkan’.
Mayat Bi akan dibedah siasat untuk menentukan punca kematian sebenar.
Ramai atlet mengurangkan peratusan lemak badan kepada angka tunggal melalui sekatan air dan garam yang ekstrem, namun ia memberi tekanan teruk kepada jantung.
Pakar kardiologi di Hospital Fuwai, Shenzhen, Dr Zhang Yu berkata, latihan intensiti tinggi jangka panjang boleh meletakkan beban besar ke atas sistem kardiovaskular dan meningkatkan risiko pembekuan darah serta kematian mengejut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




