Arsenal kembali garang, benam Leeds 4-0 walau tanpa Saka

Arsenal kembali garang, benam Leeds 4-0 walau tanpa Saka

Leeds: Arsenal menamatkan kemerosotan prestasi mereka dengan bergaya apabila membelasah Leeds United 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Elland Road, awal pagi tadi, sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta kini mengumpul 53 mata daripada 24 perlawanan, tujuh mata di hadapan Manchester City dan Aston Villa yang masing-masing masih mempunyai satu perlawanan di tangan.

Walaupun terpaksa beraksi tanpa tonggak utama, Bukayo Saka yang diketepikan akibat kecederaan sebelum sepak mula, Arsenal tetap tampil bertenaga menentang Leeds yang sebelum ini hanya tewas sekali dalam 10 perlawanan liga terakhir.

Gol pembukaan pelawat hadir pada minit ke-27 menerusi tandukan Martin Zubimendi hasil hantaran lintang Noni Madueke yang menggantikan Saka dalam kesebelasan utama.

Madueke sekali lagi menjadi watak penting apabila sepakan sudutnya gagal ditangkap kemas penjaga gol Leeds, Karl Darlow, sebelum bola melantun masuk ke gawang sendiri untuk membolehkan Arsenal mendahului 2-0 sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Arsenal terus menguasai permainan dan menambah jaringan menerusi rembatan voli Viktor Gyokeres selepas menerima hantaran Gabriel Martinelli.

Kemenangan bergaya itu disempurnakan oleh Gabriel Jesus pada minit ke-86 apabila pemain gantian itu mempamerkan aksi individu cemerlang sebelum menewaskan Darlow.

Keputusan itu bukan saja menamatkan kemarau kemenangan Arsenal dalam empat perlawanan liga, malah menghantar amaran jelas kepada pencabar kejuaraan bahawa The Gunners masih berada di landasan terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top