London: Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Snoop Dogg menyatakan hasrat untuk memainkan peranan aktif dalam usaha membawa Swansea City kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas melabur dalam kelab itu.
Snoop Dogg yang menjadi pelabur kelab divisyen kedua England itu sejak Julai lalu berkata, beliau mahu terbabit secara langsung dalam hala tuju kelab dan tidak sekadar menjadi nama besar di belakang tabir.
Menurutnya, untuk merealisasikan impian beraksi di Liga Perdana Inggeris, Swansea memerlukan perancangan rapi serta sokongan kewangan yang kukuh selari dengan realiti bola sepak moden ketika ini.
“Kami mahu membawa Swansea ke Liga Perdana Inggeris dan untuk mencapainya kami memerlukan dana, itu adalah realiti permainan hari ini,” katanya dalam temu bual bersama Wales Online.
Selain Snoop Dogg, Swansea turut menerima suntikan pelaburan daripada pemain tengah Croatia, Luka Modric yang menyertai kelab itu sebagai pelabur pada Julai, manakala personaliti televisyen dan usahawan terkenal, Martha Stewart menjadi pemilik bersama minoriti pada Disember lalu.
Ketika ini, Swansea menghuni tangga ke-16 Liga Kejuaraan England selepas lebih separuh musim berlangsung dan masih jauh daripada zon play-off.
Bagaimanapun, Snoop Dogg yang kini berusia 54 tahun tetap optimis dan percaya peluang masih terbuka untuk pasukannya mengakhiri musim dengan sesuatu yang positif.
Beliau turut memuji sokongan padu penyokong Swansea dan menyatakan keinginannya untuk mendengar pandangan peminat bagi memahami kelab itu dengan lebih mendalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




