PETALING JAYA: Sasaran pendapatan bersih antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan buat pemandu teksi menerusi Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional merupakan jumlah realistik dan tidak mustahil untuk diperoleh.
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, jumlah itu sudah tentu bergantung kepada kesungguhan pemandu sendiri untuk melakukan transformasi, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memanfaatkan peluang disediakan kerajaan.
“Kami kini sedang mempergiat usaha mendapatkan lebih banyak lokasi operasi strategik seperti di lapangan terbang, jeti penumpang dan kawasan tumpuan pelancong agar pemandu mendapat akses pasaran lebih stabil.
“Tawaran pakej pembiayaan model Proton S70 adalah kompetitif dengan anggaran kadar bayaran sewa beli harian yang boleh dikurangkan sehingga sekitar RM40 sehari berbanding sistem sewaan lama yang mencecah RM160 sehari,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemandu teksi mampu meraih pendapatan bersih antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan menerusi Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional yang dilancarkan kelmarin.
Menerusi program itu, pemandu teksi kini boleh beralih kepada Proton S70 dengan pakej pembiayaan lebih mudah bagi mengurangkan kos memiliki kenderaan dan permit di atas nama sendiri serta tidak perlu lagi membayar kos pajakan.
Kamarudin dalam pada itu berkata, program tersebut boleh disifatkan sebagai satu anjakan paradigma yang mampu memodernisasikan industri teksi negara secara menyeluruh dan komprehensif.
Katanya, ia bukan hanya mampu menyelesaikan isu struktur yang sekian lama membelenggu industri malah bakal melonjakkan semula imej serta daya tarikan profesion berkenaan kepada tenaga kerja baharu.
Dalam pada itu, pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, inisiatif reformasi itu perlu dilihat dalam konteks proses modenisasi pengangkutan awam secara menyeluruh dan bukannya secara terasing.
“Keupayaan syarikat atau pemandu teksi untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang setara atau saling melengkapi dengan perkhidmatan e-hailing penting untuk dinilai.
“Strategi peralihan daripada sistem pajakan kepada pemilikan kenderaan dan permit sendiri membawa impak yang positif kepada kebajikan pemandu.
“Langkah ini membolehkan pemandu membina aset sendiri melalui bayaran bulanan berbanding kaedah sewaan sebelum ini yang tidak memberikan sebarang nilai ekuiti jangka panjang,” katanya.
Katanya, sistem pemilikan itu dapat meningkatkan kepuasan kerja serta kadar pengekalan pemandu dalam industri.-UTUSAN.




