Norway buru sejarah, Brazil sedia sekat impian Haaland

Norway buru sejarah, Brazil sedia sekat impian Haaland

East Rutherford: Pertembungan dua penyerang paling berbisa kejohanan bakal menjadi tumpuan apabila Brazil menentang Norway dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi esok.

Penyerang Brazil, Vinicius Junior dan bintang Norway, Erling Haaland menjadi watak utama perlawanan selepas kedua dua pemain mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.

Haaland sudah meledak lima gol dalam penampilan pertama Norway di Piala Dunia sejak 1998 dan kini berkongsi tempat ketiga senarai penjaring terbanyak di belakang Lionel Messi serta Kylian Mbappe yang masing masing mengumpul tujuh gol.

Vinicius pula muncul antara pemain yang sudah menjaringkan empat gol dan dijangka sekali lagi menjadi sandaran Brazil untuk memburu kemenangan.

Bagi Norway, perlawanan itu berpotensi menjadi antara detik paling bersejarah dalam bola sepak negara itu sejak menewaskan Brazil 2 1 pada saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 1998 untuk mara ke pusingan kalah mati.

Pengendali Norway, Stale Solbakken menegaskan anak buahnya tidak boleh terlalu memikirkan kepentingan perlawanan itu, sebaliknya perlu memberi fokus sepenuhnya kepada aksi di atas padang.

“Kami perlu bermain mengikut perlawanan itu, bukan mengikut suasananya. Kami perlu memastikan kami tidak bermain kerana besarnya pentas ini, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada perlawanan,” katanya.

Norway memenangi tiga daripada empat perlawanan setakat ini dengan satu satunya kekalahan hadir ketika mereka merehatkan beberapa pemain utama ketika menentang Perancis selepas lebih awal mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik.

Haaland turut menjaringkan gol kemenangan ketika Norway menewaskan Ivory Coast 2 1 pada pusingan 32 terbaik dan sudah menemui sasaran dalam ketiga tiga penampilannya di kejohanan ini.

Namun, Solbakken mengakui Haaland bakal berdepan cabaran sukar menentang gandingan pertahanan tengah Brazil, Gabriel Magalhaes dan Marquinhos.

“Saya fikir Brazil memiliki antara gandingan pertahanan tengah terbaik di Piala Dunia kali ini. Tetapi bagi saya, ia lebih kepada Brazil menentang Norway, bukannya mereka berdua menentang Haaland,” katanya.

Norway berkemungkinan sekali lagi tanpa khidmat bek kanan Julian Ryerson, manakala Brazil pula kehilangan pemain tengah Lucas Paqueta yang mengalami kecederaan hamstring ketika menewaskan Jepun 2 1 pada pusingan 32 terbaik.

Pemain tengah Brazil, Bruno Guimaraes yang sudah mencipta empat bantuan gol berkata dia kini lebih bersedia berbanding penampilan di Piala Dunia sebelum ini.

“Piala Dunia lalu benar benar menjadi satu pengajaran buat saya. Saya tidak berada pada tahap yang sepatutnya. Saya perlu mengakuinya. Tetapi kali ini, mentaliti saya berbeza sepenuhnya. Ini adalah impian terbesar saya dan saya hanya mahu mempamerkan bola sepak terbaik,” katanya.

Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti pula mengakui sukar mencari pengganti yang memiliki ciri permainan sama seperti Paqueta, namun beliau yakin mampu mencari penyelesaian terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top