hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan satu pertuduhan predikat dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat bagi mengelakkan risiko litigasi yang boleh menjejaskan perbicaraan kes utama.
Kes digugurkan itu adalah berkaitan dengan penerimaan dana sebanyak RM200 juta oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) daripada syarikat Bukhary Equity Sdn Bhd.
AGC dalam kenyataan malam tadi berkata, keputusan berkenaan dicapai berikutan persoalan dan spekulasi yang timbul, yang mana ia bersandarkan kepada penilaian profesional terhadap keterangan, kebolehbuktian kes serta kepentingan keseluruhan pendakwaan.
“Penilaian berkenaan menunjukkan bahawa meneruskan pertuduhan-pertuduhan membawa kepada risiko litigasi yang nyata, termasuk risiko menjejaskan strategi serta pembuktian pertuduhan-pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh.
“Dalam keadaan berkenaan, pihak pendakwaan perlu melihat kepentingan keseluruhan kes dan bukannya mempertahankan satu pertuduhan secara terasing,” katanya.
AGC dalam kenyataan sama turut memperjelaskan peranan sebenar pihak pendakwaan supaya tidak disalah erti oleh mana-mana pihak.
“Jabatan ini menegaskan bahawa tugas pendakwa raya bukan untuk mempertahankan sesuatu pertuduhan pada apa jua keadaan tetapi adalah untuk memastikan hanya pertuduhan yang mempunyai asas keterangan yang mencukupi dan boleh dipertahankan di mahkamah sahaja diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, AGC menegaskan penarikan balik pertuduhan itu tidak bermakna ia dibuat tanpa asas pada awalnya, mahupun memberi gambaran bahawa transaksi-transaksi yang disiasat tidak berlaku.
Sebaliknya, menurut jabatan itu, keputusan itu dibuat selepas menilai semula keseluruhan keterangan secara menyeluruh mengikut undang-undang dan keadilan.
“Keputusan pendakwaan boleh dan perlu dinilai semula apabila keseluruhan keterangan, kebolehterimaan keterangan, kredibiliti saksi dan implikasi terhadap prosiding lain dinilai secara menyeluruh.
“Ia mesti dibuat berdasarkan undang-undang, keterangan dan kepentingan pentadbiran keadilan,” katanya.
Berdasarkan keseluruhan pertimbangan itu, jabatan itu menyifatkan tindakan meneruskan empat pertuduhan bukan lagi suatu langkah pendakwaan yang wajar dan berhemat.
Namun begitu, AGC berkata, bekas Perdana Menteri itu masih berdepan dengan baki pertuduhan utama di mahkamah.
“Bagaimanapun, pendakwaan membabitkan tiga lagi pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) ke atas tertuduh adalah diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
