East Rutherford: Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti menegaskan barisan pertahanannya tidak memerlukan sebarang panduan khusus untuk mengekang peledak berbisa Norway, Erling Haaland menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia, awal pagi esok.
Haaland kini mengumpul lima gol dalam tiga penampilan dan berada dalam kelompok pencabar utama Kasut Emas, namun bakal berdepan ujian getir menentang musuh lamanya di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL), Gabriel Magalhaes.
Pertembungan di New Jersey itu menyaksikan pertahanan Arsenal berkenaan kembali menyambung perseteruan dengan penyerang Manchester City itu dalam misi memburu tiket ke suku akhir.
Selain Gabriel, kapten Brazil, Marquinhos juga mempunyai pengalaman berdepan Haaland ketika aksi Liga Juara Juara Eropah (UCL).
“Semua orang tahu bagaimana dia (Haaland) bermain. Saya tidak perlu menjelaskan apa apa kepada pertahanan saya mengenai cara menyekatnya kerana mereka sudah banyak kali berdepan dengannya sebelum ini.
“Bagi saya, tiada istilah pelan anti Haaland. Saya tidak perlu mengajar pemain saya cara bertahan,” kata Ancelotti.
Sementara itu, pemain tengah Brazil, Bruno Guimaraes yang pernah menentang Haaland ketika bersama Newcastle dijangka memainkan peranan penting bagi memastikan penyerang Norway itu tidak menerima bekalan bola.
Tugas itu menjadi lebih mencabar selepas Brazil kehilangan Lucas Paqueta akibat kecederaan, sekali gus memaksa Ancelotti merombak jentera tengahnya.
“Kami perlu memastikan bola tidak sampai ke kakinya. Kami perlu menyerang, tetapi pada masa sama mesti ada pemain yang sentiasa mengawasinya kerana dengan satu peluang sahaja, dia mampu menentukan keputusan perlawanan,” kata Guimaraes.
Selain cabaran daripada lawan, kedua dua pasukan turut dijangka berdepan cuaca panas ekstrem yang melanda kawasan terbabit.
Walaupun suhu diramal sedikit menurun menjelang sepak mula, keadaan cuaca dijangka tetap memberi kesan kepada intensiti permainan.
“Saya rasa tiada sesiapa yang biasa dengan suhu sebegini. Perlawanan ini akan menuntut fizikal yang tinggi, jadi amat penting untuk semua pemain berada pada tahap terbaik, termasuk pemain simpanan yang akan dibawa masuk,” katanya.
Dalam pada itu, Ancelotti percaya kemenangan dramatik ke atas Jepun pada pusingan 32 terbaik sebelum ini memberi suntikan keyakinan kepada skuad Selecao.
Beliau turut memaklumkan pemain sayap, Raphinha berkemungkinan kembali disenaraikan selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan paha.
“Proses pemulihan Raphinha berjalan dengan sangat baik. Walaupun dia belum berada pada tahap 100 peratus, dia mungkin akan bermula di bangku simpanan dan beraksi beberapa minit,” katanya.
Mengulas kemungkinan menggandingkan Neymar dan Vinicius Junior di jentera serangan, Ancelotti tidak menolak perkara itu.
Vinicius sudah meledak empat gol pada kejohanan kali ini, manakala Neymar baru membuat satu penampilan sebagai pemain gantian selepas pulih daripada kecederaan betis.
“Ya, Neymar dan Vinicius boleh bermain bersama pada bila bila masa, dan saya fikir mereka akan melakukannya dalam perlawanan menentang Norway,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




