mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon Zara Zya masih enggan membuka mulut merahsiakan pertanyaan media berkenaan kekasihnya yang terkini.
Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, berkata, dia juga menerima banyak mesej daripada peminat bertanyakan perkara sama.
“Banyak juga individu mesej nak berkenalan dan mahu mendekati saya termasuk seorang pelajar sekolah berusia 12 tahun. Saya juga tolak suami orang yang nak mendekati saya.
“Saya harap golongan yang sudah beristeri dapat menghormati pasangan masing-masing serta jangan melampau. Saya tiada masalah sebenarnya (bagi respons).
“Tetapi saya fikir juga untuk hari ke depan. Takut (melayan) kerana kita tak tahu tujuan serta isi hati orang,” katanya ketika ditemui pada pelancaran drama bersiri iQIYI Original, Sekali Lagi Bahagia, semalam.
Menurutnya, dia menasihatkan suami orang agar jangan menghantar mesej keterlaluan bertujuan menggatal terhadapnya.
“Kadang-kadang saya nasihatkan juga dalam siaran langsung. Tak payah nak lebih-lebih, tolonglah hormat isteri. Tidak semua perkara boleh dianggap remeh terutama apabila membabitkan hubungan dan status perkahwinan seseorang.
“Ada benda kita boleh santai-santai serta jadikan gurauan dan ada yang tak boleh buat gurauan. Jadi, biasanya saya tak layan dan biarkan sahaja mesej itu tanpa balasan,” katanya.
Menyentuh golongan individu muda pula, Zara berkata, sebahagian mesej diterima di laman sosial sekadar ingin mengikut trend semasa.
“Budak-budak sekarang pun ada saya rasa punya sebab tersendiri rajin DM. Mungkin nak ikut trend. Tahu-tahu masuk DM nak berkenalan tapi panggil kita kakak.
“Panggil kita ‘kak’. Nak ajak kahwin dengan engkau. Situasi lucu macam ini yang kita seronok layan. Saya tahu mereka sekadar suka-suka nak gurau dan usik. Ada juga yang nak buat konten,” katanya.
Selain Zara, Sekali Lagi Bahagia turut dibarisi Izzue Islam, Afieq Shazwan, MK K-Clique, Datin Seri Noniswara serta Dayang Areeda.
© New Straits Times Press (M) Bhd
