am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Warga emas di sini yang juga pesara kerajaan, kerugian RM50,000 apabila wang simpanannya lesap diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa perempuan berusia 71 tahun itu membuat laporan Polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 10.05 pagi semalam.
Menurutnya, pada 29 Januari lalu dan ketika mangsa di rumahnya di Kampung Batu Rakit, dekat sini, dia menerima panggilan daripada individu tidak dikenali.
Menurutnya, individu itu memperkenalkan diri dari pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan memberitahu bahawa nama mangsa digunakan untuk pendaftaran meter TNB yang diubah suai bagi kecurian elektrik di Pahang.
“Mangsa menafikannya sebelum individu itu meminta mangsa membuat laporan polis secara dalam talian.
“Sindiket menggunakan taktik menyambungkan talian kepada pihak yang mengaku polis dan kononnya selepas semakan dibuat, nama mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram,” katanya.
Beliau berkata, bagi menyelesaikan kes, mangsa diarahkan memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun sementara untuk tujuan siasatan dan wang berkenaan akan dipulangkan semula selepas siasatan selesai.
Menurutnya, oleh kerana percaya dan takut, mangsa memindahkan wang simpanan RM50,000 ke akaun yang diberikan oleh individu itu menerusi lima kali transaksi.
Katanya, namun demikian, mangsa curiga sebelum menceritakan perkara itu kepada anaknya dan mangsa dimaklumkan bahawa ia penipuan.
“Mangsa terus membuat laporan polis kerana menyedari dirinya ditipu hingga mengalami kerugian RM50,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




