WTCKL terima Anugerah ASEAN Tourism Standards 2026–2028

WTCKL terima Anugerah ASEAN Tourism Standards 2026–2028

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dinobatkan sebagai penerima Anugerah ASEAN Tourism Standards 2026–2028 bagi 3rd ASEAN MICE Venue untuk Kategori Lokasi Pameran.

Pengiktirafan itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, pada Majlis Penyampaian Anugerah ASEAN Tourism Standards 2026–2028 yang berlangsung di Cebu, Filipina semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Setiausaha Pelancongan Filipina, Christina Garcia Frasco, yang turut mengumumkan penganugerahan kepada WTCKL.

Filipina adalah tuan rumah Forum Pelancongan ASEAN 2026 setelah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam mengekalkan standard perkhidmatan bertaraf antarabangsa.

Justeru, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf kemudahan dan memperkukuh pengurusan operasi bagi memastikan infrastruktur sentiasa sejajar dengan trend global.

“Anugerah ini mencerminkan keupayaan WTCKL memenuhi piawaian ASEAN serta kesungguhan kami untuk terus menyediakan fasiliti pameran yang berkualiti, selamat dan kompetitif di peringkat serantau, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Fokus utama kini adalah memperkasakan infrastruktur agar seiring perkembangan semasa, di samping memacu inovasi perkhidmatan yang melangkaui jangkaan pelanggan dan pengunjung.

“Melalui kolaborasi strategik dengan rakan industri, WTCKL akan terus menjadi pemacu utama ekonomi acara perniagaan yang mampan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Fauzy Wahab, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pemangkin untuk pihaknya terus memacu pertumbuhan dan kecemerlangan industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE).

“Komitmen itu akan diterjemahkan melalui penekanan terhadap inovasi, kerelevenan dan standard tinggi bagi setiap acara dianjurkan, sekali gus mengukuhkan peranan WTCKL sebagai pusat konvensyen dan pameran terunggul di peringkat tempatan serta antarabangsa,” katanya.

Anugerah ASEAN Tourism Standards diwujudkan bagi mengiktiraf organisasi dan fasiliti pelancongan yang memenuhi piawaian ditetapkan negara anggota ASEAN.

Ia selaras usaha meningkatkan kualiti serta keseragaman industri pelancongan dan acara MICE di rantau ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top