Kuala Lumpur: Kelab Kelantan The Real Warriors (TRW) kini boleh menarik nafas lega selepas sekatan perpindahan pemain terhadap mereka ditarik balik berkuat kuasa hari ini.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan badan itu telah menerima surat pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa kes tunggakan gaji yang dilaporkan sebelum ini, termasuk kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), diselesaikan oleh Kelantan TRW.
“Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) juga memaklumkan secara rasmi kepada MFL bahawa mereka menerima dokumen perjanjian penyelesaian membabitkan 23 pemain musim lalu bersama Kelantan TRW. Dengan itu, sekatan perpindahan pemain boleh ditarik balik,” menurut kenyataan itu.
Kelantan TRW sebelum ini dikenakan tiga sekatan perpindahan pemain oleh FAM, MFL dan FIFA susulan kes tunggakan gaji pemain musim 2025/2026.
Pasukan itu kini menghuni kedudukan ke-10 dalam saingan Liga Super 2025/2026 dengan mengumpul 15 mata selepas 16 perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




