JDT mudah meratah Imigresen FC

JDT mudah meratah Imigresen FC

rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin ‘kebal’ mendominasi tangga teratas selepas membelasah Imigresen FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu amat penting buat skuad kendalian Xisco Munoz yang tampak berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan ke-12 liga apabila mengumpul 48 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam ligha elit domestik.

Pada pertembungan itu, Munoz hanya mengekalkan Joao Figueiredo dalam kesebelasan utama manakala Hector Hevel berada di bangku simpanan sambil tidak menyenarai Jon Irazabal malah turut merombak skuad utama berbanding barisan pemain ketika menang ke atas Shan United FC dalam Kejuaraan Kelab ASEAN, baru-baru ini

Walaupun Imigresen FC sering di asak JDT tapi serang balas pasukan pelawat mengundang cemas buat Harimau Selatan pada minit ke-10 apabila bola lorongan Joao Pedro sepatutnya disudahkan Nik Akif Syahiran Nik Mat yang menyepak bola sipi di sebelah kiri gawang tuan rumah ketika penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas.

Memasuki minit ke-20 hasil bantuan Teto Martin yang menolak bola kepada Joao Figueiredo dan pemain itu tidak menunggu lama untuk merembat kencang tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimudidin bagi meletak JDT mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan hampir menambah jaringan pada minit ke-46 apabila bola lorongan Martin menyaksikan Bergson da Silva melakukan rembatan kencang namun sempat di tepis Zarif irfan bagi mengelak gawang dibolosi.

Ketika aksi memasuki minit ke-59 berpunca daripada bola sepakan lencong pemain gantian Yago Cesar menyaksikan pemain pertahanan skuad The Mighty Tigers, Vinicius Milani tertendang masuk ke gawang sendiri sekali gus meletak JDT selesa mendahului 2-0.

Skuad kendalian Yusri Che Lah terus merana pada minit ke-61 apabila ketinggalan 0-3 dalam perlawanan itu selepas pemain gantian Hector Hevel bijak melorong bola kepada Bergson yang sempat memperdaya dua pertahanan lawan sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol membuat Zarif irfan tergamam melihat bola menerjah jaring.

Martin menjadi watak penting dalam perlawanan itu selepas bola umpannya tepat kepada pemain gantian, Marcos Guilherme yang pantas merembat bola untuk menjaringkan gol keempat Harimau Selatan pada minit ke-66 membuat anak buah Yusri terkedu dengan jaringan itu.

Bergson mencetak gol kedua peribadi sekali gus menambah koleksi jaringan ke-16 dalam saingan liga apabila menyempurna bola umpanan Hevel pada minit terakhir perlawanan dan kedudukan 5-0 yang memihak anak buah Munoz kekal sehingga tamat perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top