suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penuntut Universiti Malaya (UM), Nawal Shahirah Mohd Jamil, 23, yang dilaporkan hilang Selasa lalu, sudah ditemukan selamat.
Dia rupanya hadir sendiri ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan psikologi sejak Rabu lalu.
Kejadian hilangnya orang hilang (OH) sebelum ini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakan, keluarga dan komuniti universiti.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, semakan pihaknya dengan pihak hospital mengesahkan OH hadir sendiri ke HKL.
Katanya, keadaan OH ketika ini dalam keadaan baik dan sekarang berada di wad untuk pemerhatian mental.
“OH telah ditemui selamat dan hadir sendiri menerima rawatan psikologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“OH dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana kematian ahli keluarganya (ibu),” katanya dalam kenyataan ringkas, malam ini.
Sementara itu, menurut hantaran Instagram (IG) Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaysia (KMUM) turut memaklumkan bahawa Nawal Shahirah telah ditemui dan berada dalam keadaan selamat.
Bagaimanapun, katanya, beliau menginginkan privasi pada ketika ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, polis masih mengesan penuntut Universiti Malaya (UM) Nawal Shahirah Mohd Jamil yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




