Algorithmic Organisms 2.0 buka dimensi baharu

Algorithmic Organisms 2.0 buka dimensi baharu

Kuala Lumpur : Landskap seni kontemporari tanah air kini melangkah ke fasa futuristik menerusi pembukaan rasmi pameran Algorithmic Organisms 2.0, sebuah pengalaman seni audiovisual imersif pertama seumpamanya di Malaysia.

Pameran unik yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI), visual generatif, bunyi imersif serta penceritaan ruang ini menjanjikan kelainan apabila mengajak pengunjung merasai sendiri persekitaran seni yang ‘hidup’ dan sentiasa berkembang dalam masa nyata.

Dianjurkan oleh Jazzy Group of Companies dan dipersembahkan oleh MAISEAT dengan sokongan Balai Seni Negara, pameran digital ini berlangsung di The Grey Box, GMBB Kuala Lumpur bermula 4 hingga 19 Julai ini.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Jazzy Group of Companies, Joanne Goh, pameran ini mencabar cara konvensional masyarakat dalam menikmati karya seni.

Katanya, lebih daripada sebuah pameran konvensional, ia mengajak pengunjung melangkah ke dalam sebuah persekitaran audiovisual yang hidup, di mana imejan yang dijana oleh AI, bunyi imersif dan hidupan digital sentiasa berubah serta berkembang dalam masa nyata.

“Ia mencabar cara kita menikmati seni, bukan lagi sebagai pemerhati pasif, tetapi sebagai sebahagian daripada karya itu sendiri,” katanya ketika majlis pembukaan rasmi pameran itu.

Tambah Joanne lagi, ia juga mencerminkan komitmen berterusan Jazzy Group dalam membawa pengalaman kreatif bertaraf dunia ke Malaysia, sekali gus merancakkan dialog antara seni, teknologi dan budaya.

Lebih istimewa, pameran ini membawakan seniman audiovisual bertaraf antarabangsa merangkap Pengarah Kreatif 0010×0010, Ray Tijssen yang turut hadir bagi merasmikan pameran selain mengendalikan sesi lawatan eksklusif untuk menerangkan falsafah kreatif di sebalik instalasi yang dipamerkan.

Menurut Ray, pameran ini tidak meletakkan teknologi sebagai fokus utama semata-mata, sebaliknya menonjolkan bagaimana teknologi canggih mampu menjadi medium terbaik untuk menyampaikan emosi, imaginasi dan ekspresi artistik manusia.

Majlis pelancaran tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran wakil industri seni, rakan media, rakan strategik, institusi kebudayaan, serta wakil kor diplomatik.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Kerajaan Belanda di Kuala Lumpur atas sokongan padu dalam menjayakan projek berprestij ini.

Selain pameran, orang ramai terutamanya penggiat seni, pereka dan pelajar berpeluang menyertai sesi eksklusif “Machine Vision & Human Expression: An Interactive Masterclass with 0010×0010” bersama Ray Tijssen.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman pelbagai deria di Algorithmic Organisms 2.0, tiket kini boleh dibeli melalui platform MAISEAT, Klook, dan CloudJoi.

Pengunjung boleh mendapatkan harga istimewa RM35 setiket (maksimum dua tiket) dengan hanya menunjukkan resit perbelanjaan di GMBB pada hari yang sama tanpa sebarang had pembelian minimum.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top