am@hmetro.com.my
Kuching: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan bagi mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dikhuatiri terjatuh ke Sungai Daro di Kampung Panchor, Daro, dalam Bahagian Mukah, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.28 petang.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal daripada ahli keluarga, mangsa Aqilla Nasuha Shamsol, dipercayai keluar melalui pintu belakang rumah tanpa disedari ibu bapanya.
Menurutnya, kira-kira jam 1 tengah hari, bapa mangsa yang berusaha mengesannya, menemui kesan tapak kaki dipercayai kanak-kanak itu menghala ke arah sungai.
“Selepas itu bapa mangsa melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan SAR diaktifkan membabitkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro.
“Operasi itu turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung,” katanya.
Menurutnya, usaha pencarian tertumpu di kawasan tebing sungai serta hutan dalam radius 500 meter di belakang rumah keluarga mangsa.
Sehingga jam 6 petang tadi, SAR gagal menemui petunjuk baharu selain kesan tapak kaki.
Berikutan itu, pencarian ditangguhkan pada jam 6 petang tadi dan akan disambung semula esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




